Pemuzik jalanan hilang mata pencarian  akibat pandemik kongsi pengalaman perit.
Pemuzik jalanan hilang mata pencarian akibat pandemik kongsi pengalaman perit.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Redzuan Muharam
am@hmetro.com.my


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Covid-19 yang dilaksanakan di negara ini memberi banyak kesan sama ada positif atau negatif terhadap kehidupan masyarakat.

Selain perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu, ramai juga yang terpaksa mengharungi tempoh PKP dengan perit apabila terjejas dan hilang mata pencarian.

Golongan pemuzik jalanan atau busker antara yang paling teruk terkesan apabila tidak dapat melakukan persembahan di khalayak ramai yang menjadi sumber utama pendapatan mereka. Ikuti laporan wartawan Harian Metro mengenai pelbagai kepahitan yang terpaksa ditelan golongan busker.

Rompin: "Jujurnya memang rasa down kerana tidak dapat busking sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu kerana itu punca pendapatan saya tetapi lega apabila dapat kembali membuat persembahan dengan kelonggaran diberi kerajaan," kata Wan Mohamad Safuan Wan Aslan.

Wan Mohamad Safuan, 25, yang berasal dari Felda Selendang 2, Kuala Rompin di sini mencari rezeki sebagai pemuzik jalanan (busker) sejak tamat persekolahan.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, dia memilih haluan itu kerana minat mendalam dalam bidang nyanyian sejak kecil lagi.

Bagaimanapun, Wan Mohamad Safuan atau mesra disapa Achik tidak menyangka perjalanannya diuji apabila negara dan seluruh dunia dilanda Covid-19 yang akhirnya menyebabkannya terputus mata pencarian.

"Sebelum PKP, saya memang bergantung sepenuhnya dengan pendapatan hasil busking di jalanan.

"Jika ada rezeki lebih, saya boleh meraih hingga RM500 sehari, tetapi pernah juga kurang daripada itu dan terima juga tawaran sebagai pengacara majlis apabila ada kelapangan.

"Bagaimanapun, pandemik mengubah segala-galanya hingga akhirnya saya melakukan kerja kampung saja dalam tempoh PKP yang lalu," katanya.

Menurut Wan Mohamad Safuan, sepanjang tempoh PKP, dia bergantung dengan wang simpanan hasil kerja busking dilakukannya untuk bertahan.

Katanya, dia bernasib baik kerana tinggal di rumah keluarga jadi tidak terbeban untuk membayar sewa rumah dan sebagainya.

"Cuma, emosi saya agak terganggu juga ketika itu kerana tidak dapat melakukan rutin harian iaitu menyanyi dan menghiburkan orang ramai.

"Sedih pun ada kerana tidak dapat bantu keluarga tetapi sekurang-kurangnya saya tinggal dengan keluarga dan mungkin ada lagi rakan busker lebih teruk nasibnya.

"Walaupun tidak dapat buat persembahan di luar dalam tempoh PKP, saya cuba hiburkan diri sendiri dan orang ramai di TikTok. Syukur dapat sambutan dan dapat tambah kenalan selain kumpul pengikut di situ," katanya yang menjadikan Pantai Hiburan di sini, kafe dan pasar sekitar rompin sebagai tempat busking.

SHAM Faris  kini menjadi pemuzik jalanan di sebuah restoran dekat Pantai Chenang, Pulau Langkawi.
SHAM Faris kini menjadi pemuzik jalanan di sebuah restoran dekat Pantai Chenang, Pulau Langkawi.

Terlepas buat 'show' seminggu di Redang

Langkawi: Seperti pemuzik jalanan lain, Sham Faris Mohd Yusak turut terjejas mata pencariannya kesan pandemik Covid-19 kerana tidak dapat membuat persembahan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sham Faris, 45, hampir putus asa namun tetap mencuba alternatif lain antaranya membuat persembahan menerusi siaran langsung di laman sosial dan aplikasi Clubhouse.

"Mac tahun lalu, saya diundang membuat persembahan selama seminggu oleh sebuah resort di Pulau Redang.

"Belum sempat buat persembahan, kerajaan umumkan pelaksanaan PKP dan ia menyebabkan saya terlepas tawaran itu.

"Itu kali pertama saya hilang kerja sejak sekian lama menjadi pemuzik jalanan, tetapi mujurlah kerajaan beri kebenaran buat pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jadi dapatlah menampung perbelanjaan harian saya," katanya.

Bapa seorang anak itu berkata, dia mula menjadi pemuzik jalanan pada 2013 dan awalnya membuat persembahan sekitar ibu kota.

Katanya, kos sara hidup tinggi menyebabkannya berhijrah ke Kedah dan kini mencari rezeki bersama kumpulan busker di sebuah kafe dekat Pantai Chenang di sini.

"Saya rasa kembali bernyawa sejak kerajaan laksanakan program perintis gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi.

"Ini kerana makin ramai pelancong ke sini dan ada satu ketika, kumpulan saya meraih RM800 pada satu malam.

"Syukur, saya anggap ini perkembangan positif untuk komuniti pemuzik jalanan seluruh negara supaya dapat kembali mencari rezeki walaupun dalam situasi norma baharu serta pandemik yang belum reda," katanya.

WADY  (empat dari kiri) bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) ketika meninjau persembahan dijalankan kumpulan pemuzik jalanan.
WADY (empat dari kiri) bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) ketika meninjau persembahan dijalankan kumpulan pemuzik jalanan.

Terpaksa jual instrumen kerana tiada pendapatan

Jual instrumen dan terpaksa balik kampung. Itu realiti yang terpaksa ditempuh penghibur jalanan atau busker dek penangan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Mereka yang meraih pendapatan dengan 'menjual' bakat itu terpaksa melupakan seketika profesion itu selepas tidak dibenarkan membuat persembahan.

Bukit Bintang, Jalan Masjid India di ibu kota dan pelbagai lagi lokasi tumpuan pelancong sebelum ini menjadi 'lubuk' mencari rezeki buat golongan ini.

Pendapatan yang boleh mencecah RM1,000 sehari lenyap sekelip mata selepas tiada lagi persembahan di lokasi pelancong dan kedai makan boleh diadakan.

Presiden Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC), Wady Hamdan berkata, seramai 13,000 ahli MYBC terkesan angkara pandemik Covid-19 dengan 60 peratus adalah pemuzik sepenuh masa.

Katanya, pelbagai inisiatif dilakukan seperti busking secara langsung di Facebook demi mencari sesuap nasi.

"Tidak dinafikan platform itu ada membantu namun tidak semua dapat meraih perhatian penonton seperti persembahan di khalayak ramai.

"Ada pemuzik yang terpaksa pulang ke kampung dan menjual peralatan mereka untuk meneruskan kehidupan.

"Pendapatan 'kosong' kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh membuat persembahan di kedai makan mahu pun lokasi pelancongan," katanya.

Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan MYBC untuk membantu ahli yang terkesan termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Menurutnya, bergantung sepenuhnya kepada pendapatan menerusi persembahan menyebabkan ada ahli yang terduduk kerana tidak menyangka impak Covid-19 seteruk ini.

"Alhamdulillah ada ahli yang menerima jemputan membuat persembahan di pusat pemberian vaksin (PPV) selain kini dibenarkan busking di kompleks beli-belah.

"Diharap pembukaan rentas negeri merancakkan semula industri seni jalanan ini agar buskers kembali bernafas," katanya.

MOHD Saiful  (kiri) menyanyi dan bermain muzik bersama rakannya, Mohd Feroz.
MOHD Saiful (kiri) menyanyi dan bermain muzik bersama rakannya, Mohd Feroz.

Ambil upah cat kereta

"Tali gitar saya sampai berkarat kerana sudah lama tidak digunakan," luah pemuzik jalanan, Mohd Saiful Suraidi.

Mohd Saiful, 38, yang menetap di Jalan Mohd Salleh di sini memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi pengalamannya yang tidak dapat bermain muzik di jalanan sejak empat bulan lalu.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia hanya bergantung dengan wang simpanan yang tidak seberapa.

"Saya sudah menjadi pemuzik jalanan sepenuh masa sejak tiga tahun lalu. Sebelum ini, saya banyak membuat persembahan di pasar malam dan kedai makan selain menerima undangan daripada pihak hotel serta kenduri kahwin sekitar Pontian.

"Dalam sebulan, saya boleh meraih pendapatan sehingga RM4,000," katanya.

Demi kelangsungan hidup, Mohd Saiful atau mesra disapa Asseng mengambil upah mengecat kereta.

Katanya, kerja itu bagaimanapun dilakukan secara sambilan dan jika khidmatnya diperlukan saja.

"Runsing juga kerana saya tinggal menyewa dan ada tanggungan lain iaitu anak perempuan berusia enam tahun yang kini tinggal bersama bekas isteri.

"Jadi cuba juga cari duit dan mujur ada yang tawarkan kerja mengecat kereta dengan pendapatan RM200 ke RM250 seminggu. Perit tetapi itu yang terpaksa saya tanggung kesan pandemik Covid-19.

"Kini, saya bersyukur kerana persembahan di tempat awam sudah dibenarkan dan akan kembali bermain muzik di Pasar Awam Pontian dengan rakan, Mohd Feroz Haqqem Sulaiman,27," katanya yang berharap pandemik dalam negara reda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 12:01 PM