PEMUZIK jalanan mengadakan persembahan secara virtual di sebuah pasar raya di ibu negara. FOTO Ihsan MYBC
PEMUZIK jalanan mengadakan persembahan secara virtual di sebuah pasar raya di ibu negara. FOTO Ihsan MYBC
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Menghiburkan orang ramai secara dalam talian. Inisiatif itu menjadi talian hayat kepada pemuzik jalanan di negara ini yang mengadakan persembahan secara virtual untuk meraih pendapatan.

Ia dilancarkan Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) sebagai inisiatif baharu kepada ahlinya di seluruh Malaysia yang berpeluang membuat persembahan secara langsung di beberapa pasar raya terpilih.

Presiden MYBC Wady Hamdan berkata, inisiatif Virtual Busking bermula 21 Julai lalu sebagai satu cara pemuzik jalanan menjana pendapatan.

Katanya, idea ini dipelopori bersama seorang ahli MYBC, Aniff Rahmat yang juga pemuzik jalanan sepenuh masa dan pemain saksofon.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, MYBC mencadangkan agar inisiatif ini dijalankan memandangkan tempoh PKP terlalu lama dan semakin ramai pemuzik jalanan terjejas teruk.

"Pada masa sama, kreativiti harus ditingkatkan, sementara bermain muzik secara online (dalam talian) sudah diterima pakai di platform media sosial masing-masing.

"Bagi terus mempertingkatkan norma baharu busking ini, kita tampil dengan sesuatu yang baru iaitu memancarkan persembahan di lokasi tertentu seperti pasar raya setiap hari.

"Dengan cara itu, orang ramai yang membeli belah dapat dihiburkan dan kita sediakan bekas sumbangan untuk pemuzik yang beraksi menerusi Facebook," katanya ketika dihubungi.

PEMUZIK jalanan mengadakan persembahan secara virtual untuk meneruskan survival. FOTO Ihsan MYBC
PEMUZIK jalanan mengadakan persembahan secara virtual untuk meneruskan survival. FOTO Ihsan MYBC

Wady berkata, Virtual Busking ini hanya memerlukan pemuzik membuat persembahan di rumah manakala MYBC menyediakan kemudahan teknikal di lokasi iaitu skrin, sistem audio dan bekas sumbangan.

"Kita juga sediakan kod QR pemuzik bagi membolehkan sumbangan disalurkan ke akaun mereka secara terus.

"Pengunjung dapat berinteraksi secara dua hala dengan pemuzik menerusi skrin dan konsep ini boleh menjangkau ke mana saja sebagai contoh, pemuzik di Sabah boleh menghiburkan orang ramai di Lembah Klang," katanya.

Wady berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan semua pihak yang terus menyokong dan membenarkan persembahan jalanan secara fizikal dijalankan dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih bermula awal Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 3:21 PM