Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan membenarkan pemuzik jalanan atau buskers sepenuh masa di seluruh negara membuat persembahan di restoran dan gerai makan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

"Kerajaan terima rayuan daripada pihak pemuzik jalanan atau buskers sepenuh masa yang bergantung hidup dengan persembahan mereka di restoran dan gerai makan.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Mereka memohon supaya kebenaran diberikan dan selepas berbincang dalam mesyuarat teknikal, maka kita bersetuju untuk membenarkan kumpulan buskers ini menjalankan kegiatan mereka di kawasan PKP, sama seperti di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP)," katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, pemuzik jalanan terbabit perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal antara ahli yang membuat persembahan.

Malah, katanya, kebenaran itu juga diberikan kerana mendapati pemuzik jalanan membuat persembahan mereka di luar kawasan restoran dan gerai yang dapat mengelak kesesakan di tempat sempit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 6:08 PM