HARIMAU Malaya pilihan teratas dijadikan haiwan angkat. FOTO Arkib NSTP
HARIMAU Malaya pilihan teratas dijadikan haiwan angkat. FOTO Arkib NSTP
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Zoo Negara memperoleh kutipan RM8,860,738.42 sepanjang tahun lalu hasil sumbangan menerusi kempen haiwan angkat anjurannya.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, sumbangan diterima daripada 130,862 penyumbang terdiri daripada orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sebanyak 25 jenis haiwan dijadikan haiwan angkat dalam kempen berkenaan.

"Harimau Malaya menjadi pilihan teratas dijadikan haiwan angkat. Ia memperoleh jumlah sumbangan terkumpul terbanyak iaitu RM595,633.

"Ia diikuti Harimau Bintang (RM566,271), Harimau Putih (RM576,865.10), panda gergasi (RM560,043) dan gajah Asia (RM546,079)," katanya.

Rosly berkata, sebelum penularan pandemik, pendapatan Zoo Negara bergantung kepada jualan tiket.

Katanya, ekoran penularan Covid-19, Zoo Negara berhadapan masalah kewangan yang menyukarkannya menampung kos operasi RM1.3 juta sebulan termasuk kos makanan, perubatan dan penyelenggaraan.

"Dengan adanya sumbangan kempen ini, ia memberi kelegaan kepada kami dalam mengurus dan menjaga haiwan di Zoo Negara.

"Kempen haiwan angkat di Zoo Negara menawarkan empat pakej iaitu RM500 ke atas, RM200 ke atas, RM100 ke atas dan RM50 ke atas.

"Pendaftaran untuk menyertai kempen ini boleh dibuat secara atas talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 12:00 PM