HAZREEQ (kanan) menyerahkan tembikai sebagai simbolik sumbangan bahan makanan haiwan bernilai RM6,000 kepada Shadan sambil diperhatikan Zanariah (kiri sekali) di Zoo Melaka, Ayer Keroh. FOTO Hassan Omar
HAZREEQ (kanan) menyerahkan tembikai sebagai simbolik sumbangan bahan makanan haiwan bernilai RM6,000 kepada Shadan sambil diperhatikan Zanariah (kiri sekali) di Zoo Melaka, Ayer Keroh. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


WALAUPUN belum menghantar isyarat kecemasan SOS untuk mendapatkan dana makanan bagi 650 haiwan, Zoo Melaka di Ayer Keroh amat memerlukan sumbangan daripada individu dan syarikat korporat.

Ini kerana Tabung Sumbangan Zoo Melaka yang dilancarkan pada 4 April lalu berikutan ketiadaan pengunjung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, masih belum mencukupi bagi menampung keperluan menyediakan makanan untuk 650 haiwan daripada 120 spesies.

Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis berkata, setakat ini tabung itu menerima sumbangan RM82,000 daripada individu dan beberapa syarikat korporat yang bermurah hati serta prihatin terhadap nasib haiwan berkenaan.

"Dana terkumpul setakat ini belum cukup untuk menampung kos makanan haiwan berjumlah RM180,000 sebulan dan keadaan ini dijangka berlanjutan kerana kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan menyebabkan zoo tidak dibuka kepada pengunjung.

"Zoo Melaka tidak mempunyai sumber lain kecuali wang dikutip daripada pengunjung dan bagi operasi tahun lalu kami berjaya memperoleh RM8.8 juta.

"Tetapi pada tahun ini, kami tidak menjangka perolehan seumpama itu lagi akibat Covid-19," katanya ketika ditemui di zoo itu, hari ini.

Beliau berkata, bagi menampung keperluan makanan semasa, mereka mendapatkan bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Jabatan Pertanian negeri, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Zon Selatan.

Selain itu, katanya, kos turut ditampung pemilik Zoo Melaka, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), tetapi dengan sumber kewangan terhad.

"Kami ada lima harimau belang atau Harimau Malaya, seekor harimau belang putih Bengal, lima harimau kumbang dan dua singa yang setiap seekor memerlukan enam kilogram daging sehari.

"Selain itu, bahan makanan diperlukan untuk gajah, seladang, buaya dan seumpamanya yang turut membabitkan kos tinggi tetapi zoo tidak mampu menyediakan dana secukupnya akibat ketiadaan pengunjung," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 4:30 PM