ROSLY (kiri) menyerahkan sijil kepada Mohd Haris.
ROSLY (kiri) menyerahkan sijil kepada Mohd Haris.
Muhamaad Razis Ismail


SUSULAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, Zoo Negara mengalami penurunan jumlah pengunjung, sekali gus menjejaskan jualan tiket.

Zoo Negara meminta bantuan kewangan daripada masyarakat menerusi program 'Adopt an Animal' untuk menampung kos penjagaan haiwan.

Menyedari perkara itu, Sime Darby Oils (SDO), entiti segmen hiliran Sime Darby Plantation Berhad (SDP) tampil membantu dengan mengambil Harimau Malaya dan dua Orang Utan Sumatera sebagai haiwan angkat menerusi program penajaan hidupan liar Zoo Negara.

Dalam program itu, SDO menyerahkan sumbangan RM65,000 kepada Zoo Negara untuk penyediaan bekalan makanan dan penjagaan kesihatan haiwan yang dijadikan haiwan angkat selama setahun.

SDO percaya, rakyat Malaysia perlu menyokong inisiatif ini yang bukan sahaja sebagai bukti kita menghargai hidupan liar, malah ia adalah platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan spesies terancam.

SDO mengambil dua Orang Utan Sumatera sebagai haiwan angkat menerusi program penajaan hidupan liar Zoo Negara.
SDO mengambil dua Orang Utan Sumatera sebagai haiwan angkat menerusi program penajaan hidupan liar Zoo Negara.

Pengarah Urusan SDO, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, pihaknya sentiasa memastikan habitat hidupan liar di sekitar ladang dijaga dan dilindungi.

"Dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD), SDP terbabit dalam 20 projek dan melabur RM153 juta untuk pemuliharaan dan perlindungan hutan.

"Ini merangkumi projek seperti pemulihan semula hutan dan habitat orang utan yang rosak di Ulu Segama, Sabah serta usaha pemuliharaan pelbagai jenis haiwan termasuk Harimau Malaya, Monyet Proboscis, gajah, Beruang Matahari Borneo dan Burung Kenyalang," katanya dalam kenyataan media.

Jelasnya, inisiatif diambil Zoo Negara sangat baik kerana ia selaras hasrat pihaknya yang mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia kepentingan menjaga hidupan liar yang terancam.

"Biarpun tidak berada dalam habitat semula jadi mereka, di bawah penjagaan Zoo Negara, haiwan ini dapat membiak dengan selamat untuk tatapan generasi akan datang.

"Menyedari perkara itu, kami terpanggil untuk bersama-sama membantu Zoo Negara sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR). Pada masa sama, kami juga akan terbabit dengan pelbagai aktiviti menarik di Zoo Negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, pihaknya menghargai sokongan dan sumbangan SDO yang membantu penjagaan Harimau Malaya dan Orang Utan Sumatera.

HARIMAU Malaya yang diambil sebagai haiwan angkat SDO.
HARIMAU Malaya yang diambil sebagai haiwan angkat SDO.

"Sumbangan ini dapat menampung kos bekalan makanan dan penjagaan haiwan ini.

"Pada masa sama kami berharap usaha ini dapat memberi kesedaran dan menarik lebih ramai untuk sertai program 'Adopt an Animal' untuk membantu penjagaan haiwan di Zoo Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 6:11 AM