HIBATULLAH Akhundzada. FOTO Afghan Taliban / AFP
HIBATULLAH Akhundzada. FOTO Afghan Taliban / AFP
AFP

Kabul: Undang-undang syariah dilaksanakan di Afghanistan selepas kerajaan Taliban mengambil alih pemerintahan negara itu.

Pemimpin tertinggi kerajaan Taliban baharu, Hibatullah Akhundzada muncul menerusi perutusan pertama sejak mengambil alih kuasa.

Beliau yang sebelum ini tidak pernah tampil di khalayak umum, menegaskan perkara itu menerusi satu kenyataan dalam Bahasa Inggeris, semalam.

"Saya beri jaminan kepada penduduk Afghanistan, kami (Taliban) berusaha keras menegakkan peraturan Islam dan undang-undang syariah di negara ini," katanya menerusi kenyataan itu.

Beliau juga memberi jaminan pucuk kepemimpinan baharu itu memastikan 'keamanan berkekalan, kemakmuran dan pembangunan' serta menegaskan 'orang ramai tidak harus cuba meninggalkan negara itu'.

"Emiriah Islam ini tiada masalah dengan sesiapa, semua ambil bahagian dalam memperkukuhkan sistem sedia ada bagi membolehkan kita membina semula Afghanistan yang terjejas akibat perang," katanya.

Kemunculan Akhundzada sebelum ini terhad kepada mengeluarkan kenyataan hanya ketika musim perayaan umat Islam.

Hanya sekarang Taliban mendedahkan keberadaannya, selepas mengambil alih Afghanistan 15 Ogos lalu.

Sejurus selepas pengambilalihan itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, Akhundzada kini berada di Kandahar.

Seorang lagi jurucakap berkata, Akhundzada akan melakukan penampilan umum dalam masa terdekat.

Taliban yang kembali mengambil tampuk pemerintahan menjanjikan pemerintahan 'inklusif' yang mewakili susunan etnik Afghanistan yang kompleks - walaupun wanita tidak mungkin dimasukkan ke peringkat teratas.

Ketika mereka beralih dari imej kumpulan pemberontak ke pemerintahan berkuasa, Taliban mempunyai serangkaian masalah besar yang harus ditangani termasuk krisis kewangan dan kemanusiaan yang meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:30 AM