HAIBATULLAH
HAIBATULLAH
Agensi

Kabul: Kumpulan Taliban Afghanistan semalam melantik ketua baru, antara timbalan Mullah Akhtar Mansour, untuk menggantikannya selepas mengesahkan kematian Akhtar dalam serangan dron Amerika Syarikat minggu lalu.

Sejam selepas pengumuman itu, satu serangan berani mati kumpulan berkenaan yang menyasarkan sebuah bas membawa kakitangan sebuah mahkamah di barat Kabul, menyebabkan 11 orang mati dan beberapa yang lain, termasuk kanak-kanak, cedera.

Pemimpin baru itu, Haibatullah Akhundzada tersenarai dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lalu sebagai bekas ketua kehakiman ketika pemerintahan Taliban selama lima tahun di Afghanistan sebelum ia digulingkan pada 2001.

Sirajuddin Haqqani, yang dipercayai mengetuai satu rangkaian yang bertanggung jawab terhadap kebanyakan serangan bom di Kabul, dan Mullah Mohammad Yaqoob, anak pengasas Taliban, Mullah Mohammad Omar, dilantik menjadi timbalan Haibatullah.

Pelantikan itu diumumkan selepas mesyuarat majlis syura Taliban mengakhiri kekeliruan mengenai kematian Akhtar.

“Semua anggota syura berikrar taat setia kepada Sheikh Haibatullah di satu kawasan selamat di Afghanistan. Semua penduduk dikehendaki patuh kepada Emir-al-Mukminin,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kumpulan itu.

Haibatullah yang dipercayai berusia 60-an dan dari etnik Noorzai yang amat berpengaruh di Afghanistan, adalah pembantu Omar dan berasal dari Kandahar.

Setakat ini, tidak ada tanda-tanda menunjukkan pelantikan itu akan membawa kepada anjakan pendirian Taliban.

Sepanjang berada di bawah Akhtar, kumpulan itu menolak rundingan damai dengan kerajaan.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, bas yang menjadi sasaran serangan sebaik pengumuman pelantikan ketua baru kumpulan itu ialah tindak balas terhadap keputusan kerajaan untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap tahanan Taliban.

Dia memberi amaran, lebih banyak serangan seumpama itu akan diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:20 AM