MULLAH Hibatullah Akhundzada. FOTO Twitter
MULLAH Hibatullah Akhundzada. FOTO Twitter
AFP

Kabul: Taliban mengumumkan pemimpin tertingginya, Mullah Hibatullah Akhundzada kini berada di Kandahar, Afghanistan.

Pengumuman itu dibuat selepas laporan media mengenai keberadaan pemimpin utama kumpulan itu.

"Dia kini berada di Kandahar dan memulakan kehidupan di sana," kata jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid.

Timbalan jurucakap Taliban, Bilal Karimi berkata, Hibatullah Akhundzada akan membuat kemunculan umum dalam masa terdekat.

Keadaan Hibatullah Akhundzada tidak mendapat sebarang liputan sejak dua tahun lalu.

Baru-baru ini, tular mengenai kematian pemimpin utama itu, namun tiada sebarang video atau rakaman suara diterbitkan mengenainya dalam tempoh dua tahun.

Buat masa ini, terdapat lima anggota utama Taliban yang membentuk hieraki kepimpinan kumpulan itu.

Antara mereka, Hibatullah Akhundzada, Abdul Ghani Baradar dan Mohammad Yaqoob yang paling berpengaruh.

Hibatullah Akhundzada dilantik sebagai ketua selepas dron Amerika Syarikat (AS) menyerang dan membunuh pemimpin Taliban, Mullah Mansour Akhtar pada 2016.

Sebelum mengetuai kumpulan itu, Akhundzada seorang pemimpin agama yang merendah diri.

Dia dikatakan dipilih untuk lebih memainkan peranan sebagai pemimpin agama berbanding tugas sebagai komander tentera.

Hibatullah Akhundzada ditugaskan untuk menyatukan kumpulan pejuang itu yang renggang kerana perebutan kuasa selepas pembunuhan pengasas Taliban, Mullah Omar.

Kepemimpinan kumpulan itu sebelum ini menyembunyikan kematian Mullah Omar selama bertahun-tahun.

Sehingga kini, maklumat peribadi mengenai Hibatullah Akhundzada masih menjadi misteri dan hanya diketahui ketika menyampai pesanan ketika hari cuti umum umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 12:18 PM