GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Kabul: Individu bersenjata mengaku sebagai Taliban menyerang satu majlis pernikahan di timur Afghanistan dan meminta supaya menghentikan muzik yang dimainkan menyebabkan tiga maut dalam serangan itu.

The Guardian melaporkan jurucakap pemerintah Taliban Zabihullah Mujahid berkata, dua daripada tiga penyerang sudah ditahan dan menafikan pembabitan Taliban dalam kes itu.

"Dalam kejadian pernikahan Haji Malang Jan di Kampung Shamspur Mar Ghundi Nangarhar, individu yang memperkenalkan diri sebagai Taliban menyelinap masuk ke majlis dan meminta supaya muzik berhenti dimainkan," katanya.

Menurutnya, berlaku serangan dalam kejadian itu menyebabkan tiga maut manakala beberapa orang tercedera.

"Dua suspek dilaporkan ditahan Taliban berhubung insiden itu dan seorang melarikan diri dan sedang diburu.

"Suspek ditahan menggunakan nama Taliban untuk melakukan permusuhan peribadi diserahkan untuk menerima hukum Syariah," kata jurucakap gabenor Taliban di wilayah Nangarhar, Qazi Mullah Adel mengenai kejadian itu tetapi tidak memperincikannya.

Waris mangsa menceritakan kejadian itu apabila individu yang mengaku Taliban melepaskan tembakan ketika muzik sedang dimainkan.

Muzik dilarang dalam pemerintahan Taliban, bagaimanapun pemerintah baru belum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Namun kepemimpinannya ketika ini masih tidak menyukai penggunaannya dalam hiburan dan melihatnya sebagai pelanggaran hukum Islam.

"Pemuda itu memainkan muzik di ruang terpisah dan tiga Taliban datang dan menembak mereka.

"Bagi mengimarahkan Islam tidak ada yang mempunyai hak untuk menjauhkan siapa pun dari muzik atau apa pun, hanya cuba memujuk mereka, itu jalan utama," kata jurucakap pemerintah Taliban dalam sidang media sebelum ini.

Sebelum ini, ketika memerintah pada 1996 hingga 2001, Taliban turut mengharamkan muzik sebelum mengambil alih semula pentadbiran pada 15 Ogos lalu.

Dalam pentadbiran kali ini, Taliban menjanjikan pentadbiran yang lebih bersifat sederhana, namun masih berpegang pada undang-undang Syariah.

Sehingga kini, sama ada muzik dibenarkan atau tidak masih belum jelas kerana tiada peraturan mengenainya dikeluarkan hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 12:00 AM