RAJA Iskandar bersama sebahagian pelajarnya di Malaysia Fashion Week 2017. FOTO IHSAN RAJA ISKANDAR SHAZRIM RAJA SHARIMAN
RAJA Iskandar bersama sebahagian pelajarnya di Malaysia Fashion Week 2017. FOTO IHSAN RAJA ISKANDAR SHAZRIM RAJA SHARIMAN
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: "Saya boleh lihat kebanyakan pereka fesyen muda hari ini mempunyai jati diri dengan mengekalkan identiti budaya tempatan yang kuat walaupun industri ini sering kali 'dipandang' ke arah negara asing terutama Barat."

Itu kata pensyarah fesyen, Raja Iskandar Shazrim Raja Shariman.

Malah, beliau melihat silibus pembelajaran di universiti tempatan masih mewajibkan mata pelajaran kenegaraan mendorong pereka fesyen tempatan khasnya menghargai budaya bumi sendiri.

Jelasnya, sempena menyambut Hari Kebangsaan ke-64, dia melihat kecintaan pelajar di dalam bidang itu masih utuh dengan mengekalkan elemen budaya Malaysia.

"Walaupun ketika ini kita lihat golongan muda terdedah dengan pengaruh budaya luar kerana perkembangan teknologi, sebenarnya jati diri mereka kepada negara masih kukuh.

"Saya boleh lihat di dalam tugasan yang diberikan kepada pereka muda ini, mereka lebih gemar menonjolkan keunikan pakaian tradisional masing-masing, tetapi diolah dalam nafas baharu," katanya.

Biarpun terdapat olahan yang menepati cita rasa semasa, asasnya masih dapat ditonjolkan seperti penggunaan elemen batik, songket dan tenunan.

MELIHAT pelajar fesyen masa kini yang masih mengekalkan identiti tempatan. FOTO IHSAN RAJA ISKANDAR SHAZRIM RAJA SHARIMAN
MELIHAT pelajar fesyen masa kini yang masih mengekalkan identiti tempatan. FOTO IHSAN RAJA ISKANDAR SHAZRIM RAJA SHARIMAN

Raja Iskandar juga mendapati pelajar fesyen tempatan yang bakal mewarnai industri itu pada masa depan turut menghargai pakaian tradisional merentasi kaum.

"Buat masa ini, saya mengajar di sebuah kolej yang kebanyakannya adalah mereka yang berbangsa Cina. Menariknya mereka ini amat berminat untuk menyelami budaya tempatan kaum lain untuk diterapkan dalam rekaan masing-masing.

"Malah, mereka bersyukur dilahirkan sebagai anak Malaysia kerana kita mempunyai kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan yang perlu dihormati," katanya.

Menurutnya, ketika ini, pereka muda juga lebih melihat kepada aktiviti rekaan yang bersifat lestari kerana ia mampu memberi kesan baik untuk masyarakat, alam sekitar dan negara.

"Sebenarnya industri fesyen turut mempunyai tanggungjawab kepada negara dan dunia dengan melaksanakan rekaan yang mampu memberi pulangan kepada masyarakat.

"Selain itu, kelestarian juga bukan sekadar untuk masyarakat, tetapi membantu memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang," katanya.

RAJA Iskandar menerapkan pengetahuan fesyen yang boleh memberi sumbangan kepada industri dan masyarakat. FOTO IHSAN RAJA ISKANDAR SHAZRIM RAJA SHARIMAN
RAJA Iskandar menerapkan pengetahuan fesyen yang boleh memberi sumbangan kepada industri dan masyarakat. FOTO IHSAN RAJA ISKANDAR SHAZRIM RAJA SHARIMAN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 6:50 AM