FAIZAL lebih gemar jadi tenaga pengajar daripada memiliki label sendiri dalam industri fesyen FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid
FAIZAL lebih gemar jadi tenaga pengajar daripada memiliki label sendiri dalam industri fesyen FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid
Hafiz Ithnin


JUJURNYA beliau ibarat individu yang banyak memberi pendedahan kepada penulis untuk mengetahui perihal dunia fesyen dan penggayaan. Mendekati lelaki ini juga tidak sukar kerana sifatnya yang amat mudah apabila diminta untuk berkongsi ilmu.

Dengan hanya sekali meninggalkan pesanan ringkas menerusi telefon, panjang sekali penjelasan yang akan diberikan. Malah, setiap busana yang dipadankan wanita yang menjadi penghias muka depan Wanita Metro (WM) yang dibuat oleh penulis, kebanyakannya adalah anak didik si pemilik bernama Faizal Hamid ini.

Pernah penulis bertanyakan kepada beliau mengenai soal, mengapa tidak mahu menjadi pereka fesyen sedangkan jika melihat portfolionya sudah banyak mencurahkan ilmu kepada bakat tempatan. Malah, ada yang berjaya membina nama besar dalam industri ini.

Antara nama pemain industri fesyen terkemuka tempatan seperti Fizi Woo, Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini dan yang paling terbaharu gabungan Wan & Mary yang kini gigih menempa nama.

TURUT menjadi rujukan pelbagai pihak bukan dalam kalangan pelajar. FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid
TURUT menjadi rujukan pelbagai pihak bukan dalam kalangan pelajar. FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid

Katanya, dia lebih gemar untuk menjadi tenaga pengajar daripada mempunyai label sendiri dalam industri fesyen dan paling memberi kepuasan apabila anak didiknya berjaya membina jenama sendiri yang gah di dalam industri.

“Pengalaman saya menimba ilmu hingga peringkat Ijazah Sarjana di Amerika Syarikat memberikan saya ruang mencari diri dan mengasah bakat untuk menjadi yang terbaik dalam profesion saya.

“Pendidikan juga memberi saya keyakinan dan fokus dalam kehidupan, serta kebolehan untuk berfikir seterusnya mentafsir secara kritikal karya saya dan orang lain,” katanya.

Ketika ditanya mengenai suasana industri fesyen tempatan yang kelihatan lebih menonjol pereka dalam kalangan lelaki sedangkan ramai pembelinya daripada golongan hawa itu sendiri, Pensyarah Kanan di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam itu berkata, di dalam dunia fesyen tidak ada isu siapa yang berhak untuk memonopoli, tetapi ia bergantung kepada idea dan kreativiti untuk membina satu jenama yang megah dan diterima masyarakat.

MELAHIRKAN golongan muda yang mempunyai ilmu mengenai fesyen menjadi minat Faizal berbanding mempunyai jenama sendiri. FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid
MELAHIRKAN golongan muda yang mempunyai ilmu mengenai fesyen menjadi minat Faizal berbanding mempunyai jenama sendiri. FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid

Jelasnya, menjadi pereka fesyen bukan sesuatu yang mudah kerana mereka yang kental sahaja mampu bertahan lama dan ada juga yang menganggap industri itu kejam sehingga mampu membaham pemainnya.

“Berapa ramai pereka fesyen antarabangsa yang meninggal dunia kerana bunuh diri? Berapa ramai yang mengalami tekanan hidup kerana mengejar masa yang begitu suntuk bagi menghasilkan helaian untuk dipasarkan?

“Pereka fesyen yang dilihat gah di mata masyarakat kerana mampu mencipta hasil yang memukau sebenarnya melalui pelbagai cabaran dalam hidup dan sentiasa perlu bergaduh dengan emosi sendiri. Itu hakikatnya,” katanya.

Menjelaskan mengenai perkara itu lagi, Faizal berkata, wanita yang menceburi dalam industri fesyen cukup faham mengenai jumlah keringat dan waktu yang perlu dikorbankan bagi memastikan kejayaan perniagaan fesyen.

SENTIASA memberikan tunjuk ajar kepada generasi pelapis industri fesyen tempatan. FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid
SENTIASA memberikan tunjuk ajar kepada generasi pelapis industri fesyen tempatan. FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid

“Berdasarkan maklum balas wanita global mengenai isu ini, kebanyakan tertekan dengan kehendak industri yang selalunya menuntut waktu yang melampaui batas.

“Akhirnya mereka memilih untuk tidak terperangkap dalam persaingan sengit untuk menuju puncak kerjaya, tetapi sebaliknya mengutamakan keluarga dalam apa jua keputusan yang mereka ambil,” katanya.

Faizal berkata, cabaran dalam perniagaan fesyen cukup besar dan pastinya ada pasang surut yang perlu digagahi serta ditempuhi.

“Sama ada diakui atau tidak, cabaran utama bagi seseorang pereka atau usahawan fesyen wanita ialah mengimbangkan kerjaya dan keluarga yang tidak boleh dinafikan haknya,” katanya.

Katanya, pokoknya, fesyen masih berteraskan perniagaan. Sama ada setuju atau tidak, konsep selagi boleh mendapat keuntungan dan selagi produk diperkatakan serta menjadi tular, ramai yang sanggup berbuat apa sahaja.

FAIZAL mempunyai pengalaman luas dalam bidang fesyen. FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid
FAIZAL mempunyai pengalaman luas dalam bidang fesyen. FOTO: Rohanis dan ihsan Faizal Hamid

“Dengan segala kebisingan yang berlaku secara luar sedar, kita mengetepikan persepsi sendiri terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Oleh kerana semuanya bergerak pantas, tiada masa lagi bagi kita untuk hadam, analisis apa sahaja yang dipersembahkan daripada atau kepada kita.

“Paling menyedihkan kita dimanipulasi untuk berfikir hanya dalam satu aliran. Sama ada diakui atau tidak, fesyen juga kini menjadi sekadar hiburan untuk paparan sosial media. Tetapi tidakkah komuniti fesyen sepatutnya perlu mempertahankan maruah dan memberi ekspresi terhadap isu sosial dan politik?

“Tidakkah kita pernah terfikir apa yang akan berlaku, jika kita gunakan platform media sosial bagi membincangkan isu fesyen yang lebih kritikal? Contohnya, adakah kita perlu hentikan menghasilkan pakaian lebih daripada kehendak pasaran dan menjadi industri pencemar kedua terbesar di seluruh dunia?” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 7:01 AM