KONSEP elegan baldu hitam menonjolkan tekat pada
KONSEP elegan baldu hitam menonjolkan tekat pada
Nurul Husna Mahmud


ELEMEN sering dilihat pada busana klasik seperti pelekat, songket, tekat dan potongan tengkolok serta baju Melayu cekak musang boleh dilihat menerusi tema ‘Made in Perak’ dalam rekaan kontemporari sesuai digayakan pada masa kini.

Itu yang cuba ditampilkan sekumpulan pelajar tahun akhir Diploma Rekaan Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar Perak, baru-baru ini.

Tidak sekadar elemen tradisi, ada juga rekaan diketengahkan dengan penuh ‘penceritaan’ apabila ada bermotifkan bangunan ikonik atau peristiwa sejarah untuk dimuatkan sebagai inspirasi dalam seleksi mereka.

Menurut pensyarah fesyen UiTM Perak, Muhammad Khalik Mustafa, meskipun rekaan ditetapkan dengan tema tertentu namun ia tidak mengehadkan kreativiti pelajar untuk tampilkan rekaan menepati industri.

PERINCIAN tradisi dalam potongan moden.
PERINCIAN tradisi dalam potongan moden.

“Untuk penilaian hasil karya pelajar dalam rekaan mereka, penggiat industri seperti pereka fesyen tempatan, Hatta Dolmat, Seth and Luna dan wakil kraftangan Sarawak dipanggil untuk menilai hasil kerja mereka.

“Identiti Perak berjaya ditonjolkan dengan baik dalam perincian busana yang rata-rata barisan pereka kali ini adalah pelajar wanita dilihat memberi impak baik terhadap pendedahan awal mereka kepada industri,” katanya.

Pelajar yang tampil koleksi busana baldu serba hitam bersama tekat, Rashidah Yusof @Che Teh berkata, kehalusan tekat benang emas menonjolkan gaya elegan dan glamor bagi busana malam.

“Seperti diketahui seni tekat dulu adalah elemen eksklusif yang hanya digayakan golongan raja dan bangsawan sebagai lambang kemewahan. Jadi inisiatif saya untuk padankan seni tekat dalam dua gaya cuba ditonjolkan iaitu kasual dan busana malam sebagai usaha untuk memperkenalkan warisan seni ini kepada masyarakat umum supaya tidak ditelan zaman.

INSPIRASI Istana
INSPIRASI Istana

“Cabaran menyiapkan busana ini ialah perincian tekat itu sendiri menggunakan jahitan tangan. Fabrik untuk timbulkan jahitan tekat itu sendiri juga terhad iaitu biasanya dihasilkan pada material fabrik baldu,” katanya.

Koleksi Anis Shakira Huda pula mengambil inspirasi seni bina tradisional Istana Kenangan menerusi anyaman dan ukiran sebagai motif utama.

“Daripada seni bina kepada rekaan pakaian, saya olah menerusi pancaran LCD sebagai perincian untuk hasilkan rekaan yang bersesuaian. Teknik ‘quilting’ dan ‘panelling’ dipilih untuk menghasilkan perincian.

“Selain itu, saya turut menggunakan gabungan pelbagai fabrik seperti satin, renda, fabrik berkilat dan banyak lagi bersesuaian dengan sifat-sifat yang ada pada Istana Kenangan,” katanya.

Meskipun mengambil konsep istana lama, namun hasil ketiga-tiga rekaan begitu moden dan kontemporari sesuai dengan trend terkini. Itu diakui pelajar berkenaan yang membayangkan ikonik fesyen antarabangsa, Kendall Jenner dan Gigi Hadid menggayakan busana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 6:15 AM