Tangki penyimpanan gas oksigen cecair berkapasiti 20,000 liter dengan ketinggian 50 kaki tinggi dan luas diameter 2.5 meter yang dibina di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Serdang telah mula beroperasi dalam menampung peningkatan penggunaan oksigen. FOTO BERNAMA

Serdang: Pekarangan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang kini menempatkan loji pengisian oksigen gred perubatan yang dapat memastikan bekalan oksigen untuk kegunaan pesakit covid-19 sentiasa mencukupi dan diperoleh dengan segera.

Sebelum ini, tong oksigen yang kosong perlu dihantar dari PKRC Maeps 2.0 ke Banting, Selangor sebanyak tiga kali sehari untuk pengisian semula dengan perjalanan sehala mengambil masa lebih sejam.

Namun kini perjalanan untuk melakukan pengisian semula tong oksigen mengambil masa tidak sampai 10 minit.

Pengarah PKRC Maeps 2.0 Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, loji pengisian oksigen yang mula beroperasi sejak Sabtu lalu itu mempunyai kemampuan mengisi sehingga 600 tangki oksigen bersaiz 6.8 liter sehari bagi memastikan bekalan oksigen sentiasa konsisten dan mencukupi untuk pesakit covid-19 di fasiliti berkenaan.

Setiap hari kira-kira 2,000 tong oksigen digunakan untuk pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Serdang. FOTO BERNAMA
Setiap hari kira-kira 2,000 tong oksigen digunakan untuk pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Serdang. FOTO BERNAMA

"Silinder oksigen ini diperlukan dalam keadaan yang cepat," katanya serta menambah pada setiap hari, kira-kira 2,000 tong oksigen digunakan di PKRC Maeps 2.0.

Dr Shahabuddin berkata, loji pengisian oksigen itu turut membantu pengisian semula tangki oksigen bagi fasiliti kesihatan di sekitar Lembah Klang yang memerlukan bekalan dalam kadar segera.

Menurut Dr Shahabuddin, loji pengisian oksigen di PKRC Maeps 2.0 itu adalah yang pertama dibina di luar kawasan hospital memandangkan kawasannya yang luas serta lokasinya yang strategik untuk membantu menampung peningkatan penggunaan oksigen di hospital di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, pengoperasian loji itu akan dipantau pasukan keselamatan demi keselamatan loji untuk mengelakkan kebakaran, serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan high-purity oxygen yang selamat digunakan manusia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 6:50 AM