PEKERJA menyediakan makanan sebelum dihantar kepada pesakit Covid-19. FOTO Bernama
PEKERJA menyediakan makanan sebelum dihantar kepada pesakit Covid-19. FOTO Bernama
BEBERAPA pekerja menyediakan makanan untuk dihantar kepada pesakit Covid-19. FOTO Bernama
BEBERAPA pekerja menyediakan makanan untuk dihantar kepada pesakit Covid-19. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: "Tak menang tangan," kata Mohd Abu Narahan Tahang yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan makanan kepada pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Pemilik Cengkih Catering itu berkata, kebiasaannya mereka diminta menyediakan makanan untuk 500 hingga 600 pax (orang), masing-masing bagi sarapan, makan tengah hari, makan malam, namun kini jumlahnya semakin bertambah hingga mencecah 1,000 pax.

"Bilangan makanan yang MAEPS minta selalunya bertambah pada waktu malam. Contohnya waktu pagi, kami hanya diminta sediakan 500 pax tetapi bila waktu tengah hari mereka akan telefon dan meminta kami sediakan bilangan makanan yang lebih banyak.

"Ini mungkin disebabkan bilangan pesakit yang dimasukkan ke PKRC MAEPS ini bertambah pada waktu malam," katanya yang menggunakan khidmat 20 pekerja bagi menyediakan hidangan untuk PKRC MAEPS.

Mohd Abu Narahan, 41, berkata, penyediaan bahan-bahan dan hidangan untuk PKRC MAEPS bermula seawal 2 pagi kerana makanan tersebut perlu dihantar sebelum 7 pagi.

MAKANAN yang siap sedia untuk dihantar kepada pesakit Covid-19. FOTO Bernama
MAKANAN yang siap sedia untuk dihantar kepada pesakit Covid-19. FOTO Bernama

Beliau berkata, pihaknya juga perlu menyediakan makanan diet antara 40 dan 50 pax untuk pesakit Covid-19 yang menghidap diabetes dengan mengikut kriteria yang ditetapkan oleh pihak PKRC MAEPS, antaranya yang lebih kepada sayur-sayuran.

"Doktor akan periksa makanan diet yang dihantar dan kalau tidak ikut spesifikasi ditetapkan mereka akan tolak," katanya sambil melahirkan rasa syukur kerana setakat ini makanan daripada pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah.

Siti Noor Yusuf, 43, yang merupakan pengurus Cengkih Catering, berkata, pengendalian makanan untuk pesakit Covid-19 dilakukan dengan berhati-hati kerana pihaknya tidak mahu makanan yang dihantar diterima dalam keadaan tidak elok.

"Kami bungkus makanan seperti nasi lemak dan makanan lain mengikut bungkusan dikhaskan bagi mengelak makanan basi dan lain-lain. Semua pekerja juga diminta menjaga prosedur operasi standard pengendalian makanan ditetapkan," katanya.

Pada 19 Mei lalu, Pengarah PKRC MAEPS Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, pihaknya bersedia membuka lebih banyak dewan di pusat berkenaan bagi menampung peningkatan kemasukan pesakit, terutama dari Lembah Klang. Setakat ini, lima dewan sudah dibuka iaitu Dewan A, B, C, D1 dan DG bagi menempatkan pesakit COVID-19 kategori 1, 2, dan 3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:13 PM