DATUK Seri Takiyuddin Hassan menunjukkan Ordinan Darurat (Pindaan) 2021 semasa sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Bernama
DATUK Seri Takiyuddin Hassan menunjukkan Ordinan Darurat (Pindaan) 2021 semasa sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Persidangan Parlimen bukan digantung tetapi ditangguhkan atas faktor perundangan, sains serta data pandemik Covid-19 ketika ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, berdasarkan faktor perundangan, tiada keperluan untuk Parlimen bersidang dalam tempoh darurat memandangkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh membuat ordinan di bawah Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya Perkara 14(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga menyatakan dengan jelas bahawa sidang Parlimen ditiadakan dalam tempoh darurat.

"Seri Paduka boleh buat undang-undang maka keperluan untuk Parlimen bersidang tiada," katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Istana Negara dalam kenyataan sebelum ini menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Takiyuddin menegaskan sidang Parlimen ditangguhkan bagi membolehkan usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19 berjalan dengan lancar.

"Ahli Parlimen sebagai petugas barisan hadapan bekerjasama tangani Covid-19 di kawasan masing-masing dan kerajaan serius merangka strategi bendung penularan wabak ini," katanya.

Takiyuddin berkata, pihaknya juga tidak mahu merisikokan ahli Parlimen yang rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

"Hampir sebahagian ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko...jadi kita tidak mahu mereka terdedah kepada Covid-19 sebab berada di 'confined area' iaitu sempit dan tertutup.

"Apabila Parlimen bersidang, seorang ahli Parlimen akan bawa tiga pegawai...bayangkan berapa ramai di tempat itu dengan kakitangan awam lagi," katanya.

Takiyuddin berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberi jaminan bahawa sidang Parlimen boleh dijalankan selepas tempoh darurat tamat pada 1 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 5:02 PM