Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini mempertikaikan tindakan pembatalan Ordinan dan Proklamasi Darurat yang didakwa dilakukan saat akhir.

Bahkan perkara itu turut menjadi pertikaian Ahli Parlimen dalam persidangan khas berkenaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mendesak penjelasan lanjut berhubung pembatalan berkenaan dan turut mencelah ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai memberi penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Saya percaya pengumuman ini dibuat supaya tidak mahu isu sama terus dipanjangkan dalam dewan ini.

"Pengumuman yang dibuat Menteri ini ternyata mempertajamkan lagi krisis Perlembagaan yang sedang kita hadapi sekarang," katanya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pembatalan ordinan dan keputusan tidak melanjutkan darurat sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.

Katanya terdapat juga keperluan untuk menerangkan perkara itu kepada rakyat dengan lebih jelas.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan menasihati Al-Sultan Abdullah untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia berakhir 1 Ogos depan.

Selain itu, kerajaan juga memaklumkan enam Ordinan Darurat sudah dibatalkan bermula 21 Julai lalu.

Ordinan itu adalah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 mengenai berita palsu; Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (pindaan) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 3:19 PM