SARAH tak sangka hamil sekali lagi anak keempat dan teruja menanti kelahirannya nanti.
SARAH tak sangka hamil sekali lagi anak keempat dan teruja menanti kelahirannya nanti.
Najiy Jefri

KEHAMILAN keempat penyanyi Siti Sarah yang kini memasuki bulan kelima sememangnya memberi kejutan kepada dirinya serta suami tercinta yang juga pelawak terkenal Shuib.

Bagaimanapun Sarah dan Shuib mengakui teruja menantikan kehadiran permata keempat dalam kehidupan mereka.

"Jujur saya betul tak sangka, lepas enam tahun saya melahirkan Matin, saya dapat lagi rezeki merasai detik kehamilan baharu sekarang.

"Bukan hanya saya dan Shuib saja teruja tapi anak-anak pun tak sabar nak tengok dan bermain dengan adik mereka. Iyalah, masing-masing dah besar jadi mereka dah tahu dan faham akan ada adik baru nanti.

"Saya bersyukur atas rezeki yang Allah kurniakan untuk saya dan suami. Kami memang tak rancang tapi inilah namanya rezeki untuk kami sekeluarga," katanya.

Ditanya mengenai jantina anak keempatnya itu, Sarah berkata, dia dan Shuib akan umumkan bila tiba masanya nanti.

Katanya, soal jantina dia tidak kisah asalkan anak dalam kandungan berada dalam keadaan yang sihat dan selamat.

"Kelahiran ini saya akan sekali lagi melalui pembedahan. Apa yang saya harapkan anak dalam kandungan berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Soal jantina lelaki atau perempuan kami berserah saja sebab kami berdua tak kisah pun. Kami akan umumkan apabila sudah tiba masanya," katanya.

Bagi Shuib, setiap kali dia membawa Sarah menjalani pemeriksaan di klinik, hatinya pasti berbunga untuk melihat perkembangan anaknya.

"Alhamdulillah, antara perasaan yang indah dan hati saya akan berbunga-bunga bila balik dari buat pemeriksaan anak kami.

"Baru-baru ini anak kami belanja hisap jari. Perasaan yang tak boleh nak diungkapkan. Comel sangat masa saya tengok.

"Semoga menjadi anak soleh dan sihat selalu," kata Shuib.

Dalam pada itu, Shuib mengakui terkejut apabila ibunya memaklumkan dirinya turut mengalami alahan.

Shuib berkata, ibunya ada membuat panggilan dan marah-marah selain mengadu badannya lemah dan tidak lalu untuk makan.

"Ada satu hari ibu saya telefon, dengan nada marah-marah dia pesan jangan susahkannya. Rupanya, ibu beritahu yang dia selalu muntah dan tidak ada selera makan.

"Saya terkejut apabila dia turut mengalami alahan teruk ketika Sarah baharu hamil. Lama juga, lebih kurang sebulan ibu mengalami alahan terbabit.

SARAH dan Shuib akan umum jantina bayi bakal lahir apabila tiba masanya.
SARAH dan Shuib akan umum jantina bayi bakal lahir apabila tiba masanya.

"Ada satu lagu insiden yang lucu, apabila ibu saya berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan, dia diberi alat ujian kehamilan. Ibu saya marah doktor kerana dia telah berusia 57 dan sudah menopaus!," katanya.

Sementara itu, Sarah berkata, dia tidak menjangka ibu mentuanya melalui alahan seteruk itu.

"Ketika kehamilan terdahulu, saya memang tidak boleh makan apa-apa sebab mesti akan muntah. Ketika itu, saya hanya boleh makan buah oren. Peliknya, ibu mentua saya juga alami perkara yang sama dan dia hanya boleh makan buah oren.

"Kali ini alahan sama terjadi lagi kepada saya, tapi tidaklah seteruk dulu. Saya masih boleh bekerja dan rajin untuk berbuat sesuatu," katanya.

Sarah berkahwin dengan pelawak dan ahli perniagaan, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, 37, pada 26 Februari 2011.

Hasil perkahwinan, pasangan ini mempunyai tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6 tahun.

Menyentuh mengenai perniagaan Loveta, Sarah mengakui teruja apabila busana yang dikeluarkan buat kali pertama mendapat sambutan yang luar biasa pada sepanjangan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

"Sambutan diterima sangat luar biasa. Kami seronok sangat bila kesemua koleksi berjaya habis dan mendapat permintaan tinggi.

"Insya-Allah saya bersama pasukan Loveta akan keluarkan koleksi baharu dalam waktu terdekat ini.

"Jujur saya memang minat fesyen dan kesemua rekaan yang dikeluarkan adalah hasil tangan saya sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:00 AM