SITI Sarah Raisuddin dan Shuib di Iftar Indigital bersama media di 10 Gram IOI Puchong, Puchong Jaya. FOTO Aswadi Alias
SITI Sarah Raisuddin dan Shuib di Iftar Indigital bersama media di 10 Gram IOI Puchong, Puchong Jaya. FOTO Aswadi Alias
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak dan usahawan Shuib terkejut apabila ibunya memaklumkan turut mengalami alahan ketika isterinya yang juga penyanyi Siti Sarah hamil anak keempat ketika ini.

Shuib berkata, ibunya ada membuat panggilan dan marah-marah selain mengadu badannya lemah serta tidak lalu untuk makan.

"Ada satu hari ibu saya telefon. Dengan nada marah-marah dia pesan jangan susahkannya. Rupa-rupanya ibu beritahu dia selalu muntah-muntah dan tidak ada selera makan.

"Saya terkejut apabila dia turut mengalami alahan teruk ketika Sarah baru hamil. Lama juga, lebih kurang sebulan ibu mengalami alahan itu.

"Ada satu lagi insiden lucu apabila ibu diberikan alat ujian kehamilan apabila pergi mendapatkan rawatan. Ibu saya marah doktor kerana dia sudah berusia 57 tahun dan sudah menopos!," kata Shuib ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Indigital Music di 10grams di Puchong baru-baru ini.

Sementara itu, Sarah berkata, dia tidak menyangka ibu mentuanya melalui alahan seteruk itu.

"Ketika kehamilan terdahulu, saya memang tidak boleh makan sebab mesti akan muntah. Ketika itu, saya hanya boleh makan buah oren. Peliknya, ibu mentua saya juga alami perkara yang sama dan dia hanya boleh makan oren.

"Namun, alahan itu sudah kembali kepada saya, tapi tidaklah seteruk dulu. Kali ini saya boleh bekerja dan rajin untuk berbuat sesuatu," katanya.

Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan kini sudah dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 11:24 AM