SEMAKIN Benci Semakin Cinta hasil karya Ajai diciptakan khas buat Sarah dan Shuib.
SEMAKIN Benci Semakin Cinta hasil karya Ajai diciptakan khas buat Sarah dan Shuib.
Najiy Jefri


MELIHAT situasi pandemik Covid-19 yang belum reda sehingga ramai yang terpaksa berjauhan dengan insan tersayang, pasangan selebriti, Shuib dan Siti Sarah muncul dengan lagu baharu berjudul Semakin Benci Semakin Cinta yang menggambarkan keadaan semasa ketika ini.

Shuib berkata, walaupun judul lagu menggambarkan kisah cinta, namun lagu ciptaan dan lirik oleh Ajai itu cukup sesuai didengar pada ketika ini.

"Situasi lagu ini menggambarkan bagaimana dua insan yang saling menyayangi terpaksa berjauhan atas sebab tertentu. Dalam tempoh itu wujud pelbagai kejadian yang menduga rasa cinta mereka. Bagaimana ukuran cinta bukan berdasarkan jarak, tetapi perasaan itu sendiri.

"Dalam keadaan negara kita yang berhadapan pandemik ini, pasti ramai yang melalui situasi yang sama. Bukan sekadar tidak dapat bertemu orang tersayang, malah ada yang tidak dapat pulang ke kampung berbulan lamanya untuk bertemu orang tersayang. Jadi, lagu ini saya anggap cukup kena dengan situasi sekarang," katanya.

Menurut Sarah, lagu itu sudah dirakam sejak setahun lalu ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Idea lagu ini hadir daripada Ajai sendiri apabila dia yang ingin melihat kami berduet. Malah, lagu ini memang diciptakan khas buat saya dan Shuib.

"Ikutkan selepas siap dirakam memang tiada tarikh untuk lagu ini dilancarkan. Jadi, dalam keadaan saya menunggu hari untuk melahirkan anak keempat dan Shuib juga tidak terlalu lalu sibuk dengan urusan perniagaan, ini adalah waktu yang sesuai untuk lagu diperdengarkan kepada peminat," katanya.

Sebelum ini, Sarah dan Shuib pernah muncul dengan single Cinta Itu Nyawa pada 2012.

Lagu ini diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby Records Sdn Bhd dan diedarkan oleh Indigital Music.

Ia sudah boleh distrim di semua pelantar digital dan lirik video boleh ditonton di YouTube sejak Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 6:47 AM