SARAH
SARAH
Rudy Imran Shamsudin


PANDANGAN mengatakan setiap kejayaan lelaki pasti ada wanita di belakangnya. Jika bukan ibu, ia pasti daripada isteri tercinta atau anggota keluarga lain.

Begitu juga dengan pasangan selebriti popular Shuib dan Siti Sarah Raisuddin. Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Semakin itu dilihat menjadi pendorong kuat dalam setiap perniagaan yang diusahakan Shuib.

Bagaimanapun, Sarah berkata, dia bukan saja menjadi tulang belakang suami, tetapi juga rakan kongsi dalam beberapa perniagaan yang mereka usahakan. Antaranya mengusahakan perniagaan madu.

“Alhamdullilah ia berkembang dengan baik. Sekarang kami mengembangkan lagi dengan membuka beberapa cabang perniagaan lain,” katanya.

Menurut Sarah, sepanjang menjalankan perniagaan bersama suami, dia tidak pernah berdepan masalah kerana masing-masing sudah faham cara kerja.

“Cuma saya tidak boleh bekerjasama dengan Shuib jika di lokasi penggambaran. Saya tidak boleh berlakon dengan suami. Tak tahu kenapa, tapi saya berasakan kami tidak mempunyai keserasian apabila berlakon bersama,” katanya.

Menjelaskan mengenai kerjasama dalam membina empayar perniagaan, Sarah berkata, mereka banyak berkompromi bagi mengelakkan sebarang masalah, sekali gus memastikan perniagaan berjalan lancar.

“Walaupun perniagaan dibuka bersama, saya tidak menguruskan segala-galanya. Ada bahagian tertentu saya akan mengawasi,” katanya.

SARAH dan Shuib tidak berbincang hal kerja di rumah.
SARAH dan Shuib tidak berbincang hal kerja di rumah.

Mereka juga akan berbincang dan berkongsi pendapat mengenai pemasaran.

“Saya ada pendapat sendiri dan begitu juga dengan Shuib. Selalunya pandangan yang kami kongsi pasti berbeza. Namun, kami akan mencari jalan dan memilih keputusan di tengah-tengah.

“Bohong kalau saya kata kami tidak pernah berselisih faham. Dalam perniagaan pasti ada, tapi kami akan bersikap rasional. Lebih penting perniagaan diusahakan berjalan lancar,” katanya.

Menurut Sarah, selalunya untuk mengelakkan perbezaan pendapat berlanjutan, mereka jarang membawa isu berbangkit dalam rumah.

“Kalau pun saya cuba bangkitkan isu atau hal perniagaan di rumah, Shuib cepat-cepat mengelak. Dia akan bagi alasan yang dia penat.

“Biasanya kalau sudah berada di rumah, Shuib tinggalkan hal berkaitan kerja di luar pintu rumah. Jika saya mahu tanya hal pekerjaan di rumah, saya akan lihat terlebih dulu atau cari masa sesuai untuk bercakap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 5:15 AM