BERSYUKUR kerana Allah permudahkan kehamilan kali ini.
BERSYUKUR kerana Allah permudahkan kehamilan kali ini.
Syafil Syazwan Jefri


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilanjutkan lagi sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada penyanyi Siti Sarah.

Namun, melihat dari sudut yang lebih positif, Sarah menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya yang kini sarat mengandung.

PKP pun, saya memang dah mulakan 'lockdown' kendiri. Dalam keadaan hamil seperti sekarang, saya ambil langkah yang lebih berjaga-jaga.

"Apa yang boleh saya kongsikan, masa yang ada ini saya gunakan sepenuhnya untuk keluarga. Inilah masanya untuk saya luangkan masa bersama mereka," katanya.

Walaupun berada di rumah, perniagaan dan kerjayanya tetap berjalan seperti biasa.

"Kalau bercakap mengenai kerja pula, walaupun saya bekerja dari rumah, ia masih berjalan seperti biasa.

"Sejujurnya, PKP kali ini memang memberi kesan dan kami pun rasa terjejas juga. Saya berharap sangat, kalaulah nak 'lockdown', buat betul-betul," katanya.

Berkongsi mengenai kehamilan cahaya mata keempatnya hasil perkahwinan dengan suami, Shuib, Sarah bersyukur kerana tidak mengalami sebarang alahan.

"Alhamdulillah, dah masuk bulan keenam dan setakat ini, saya tak ada mengalami sebarang alahan. Saya bersyukur kerana Allah permudahkan kehamilan kali ini.

"Pada awalnya, timbul rasa risau kerana usia saya pun semakin meningkat dan kehamilan dalam usia 37 tahun seperti sekarang mungkin akan sedikit mencabar.

"Tapi, sangkaan saya meleset. Bahkan, ini adalah kehamilan paling mudah saya rasakan," katanya.

Sarah dan Shuib berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq.

Terbaru, Sarah dan Shuib tampil dengan single duet berjudul Semakin Benci Semakin Cinta hasil ciptaan Ajai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 6:44 AM