Siti Rohana Idris


Tumpat: "Belum pun tiba masanya untuk saya bercerita mengenai arwah ibu mereka, anak-anak terlebih dulu 'menjumpai' kenangan kami," kata Syazwan Najmi Zulkarni.

Syazwan, 24, adalah bapa tunggal kepada anak kembar, Medina Safiya dan Medina Sofiya yang kini sudah menginjak ke usia 14 bulan yang kehilangan ibu, Siti Nur Nasuha Shafie selepas 14 hari dilahirkan akibat komplikasi bersalin.

Syazwan berkata, dua anaknya yang kini sudah bertatih semakin cerdik dan seolah tercari-cari ibu mereka dalam masa yang sama menyelongkar foto kenangan.

"Saya sendiri tidak menyangka bahawa dua beradik itu secara senyap-senyap masuk ke dalam bilik dan membuka laci almari sebelum disedari saya.

"Alang-alang mereka sudah menemui koleksi foto di hari pernikahan kami, saya terus menunjukkan kepada mereka dan agak meruntun hati apabila mereka berdua terutama si kakak (Medina Safiya) menggenggam erat potret dan enggan melepaskan apabila diminta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Perkongsian mengenai video itu dimuat turun Syazwan dalam laman Instagram miliknya dan ramai gagal menahan sebak terutama melihat telatah anak kembar itu yang teruja dan mencium foto arwah ibu mereka.

Syazwan berkata, insiden yang sama dilalui ketika membawa kembar itu ke pusara arwah isterinya pada hari ulang tahun mereka iaitu 31 Mac lalu yang mana kelihatan anak kembar itu enggan pulang seolah dapat merasai kehadiran ibu.

SYAZWAN Najmi bersama anak kembarnya, Medina Safiya dan Medina Sofiya yang kini berusia 14 bulan. FOTO ihsan Syazwan Najmi Zulkarni
SYAZWAN Najmi bersama anak kembarnya, Medina Safiya dan Medina Sofiya yang kini berusia 14 bulan. FOTO ihsan Syazwan Najmi Zulkarni

"Sehingga kini pusara arwah isteri masih kami lawati dan pada hari jadi Sofiya serta Safiya pada Mac lalu, saya membawa mereka ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil, Pengkalan Kubor.

"Ketika ingin pulang, si adik (Medina Sofiya) berkali-kali menoleh ke belakang dan enggan keluar dari tanah perkuburan seolah-olah ada sesuatu yang menarik perhatiannya sehingga menimbulkan rasa pilu di hati saya namun tidak mahu terlalu menunjukkan rasa itu," katanya yang baharu beberapa bulan membuka sebuah kedai makan di Kampung Jubakar Pantai yang dinamakan sempena bayi kembarnya itu.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Syazwan yang menetap di rumah keluarganya di Kampung Pak Keral, di sini, mengakui situasi agak berlainan meskipun ia adalah tahun kedua tanpa isterinya yang meninggal dunia pada April tahun lalu.

Dia berkata, perasaan hiba itu mungkin disebabkan dua anak perempuannya kini sudah cerdik dan masing-masing semakin aktif malah dirasakan sedikit ralat kerana perkembangan dua permata hatinya itu tidak dapat dikongsikan dengan arwah isteri.

"Jika tahun lalu mereka masih lagi bayi, tapi kini keduanya semakin pintar dan ada 'perangai' masing-masing iaitu suka merajuk, inginkan perhatian dan alangkah bahagia jika arwah ada dan kami sama-sama dapat tangani keletah anak.

"Saya bukan tidak reda tapi kadang-kadang perasaan rindu itu hadir tanpa dapat dihalang lebih-lebih lagi apabila memandangkan wajah kedua anak yang lebih kepada iras arwah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 4:47 PM