TAN Sri DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP
TAN Sri DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 2,331 kes baharu penularan virus Covid-19 hari ini, menjadikan kes kumulatif 372,859.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sembuh pula sebanyak 1,832 menjadikan kes kumulatif 352,395 atau 94.5 peratus.

Beliau berkata, kes aktif di negara ini dengan kebolehjangkitan adalah 19,094 kes.

"Sebanyak 2,319 kes adalah penularan tempatan membabitkan 2,098 warganegara dan 221 kes lagi bukan warganegara.

"Sementara itu, terdapat 12 kes import membabitkan tujuh warganegara, dan dua bukan warganegara.

"Dukacita dimaklumkan terdapat lima kematian direkodkan hari ini membabitkan warganegara menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 1,370 orang," katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan terkini Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 225 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 92 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Pada hari ini, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 751 kes (32.2 peratus).

"Daripada jumlah ini, sebanyak 623 kes (83.0 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 512 kes (22.0 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 252 kes (10.8 peratus)," katanya.

Menurutnya, sebanyak 39 kes (1.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster DTI Lenggeng (24 kes), Kluster Jalan Salleh (11 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (3 kes), dan Kluster DTI Sandakan (1 kes).

Sementara itu, Noor Hisham berkata, KKM juga ingin memaklumkan terdapat lapan kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini membabitkan empat kluster tempat kerja, tiga di sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan satu kluster komuniti.

"Bagi kluster sekolah dan institusi pendidikan KPM membabitkan dua di Sarawak iaitu Kluster Ulu Balingian dan Jalan Disa manakala satu di Selangor iaitu Jalan Maktab.

"Terdapat empat jangkitan di tempat kerja yang mencetuskan kluster baharu iaitu Kluster Jalan Ding Lik Kwong di Sarawak, dua di Sabah iaitu Jalan Damai Tawau dan Bukit Quoin serta Jalan Wawasan Lima (Johor).

"Bagi jangkitan dalam komuniti dilaporkan Kluster Seri Kuantan di Pahang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 4:57 PM