GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Selangor merekodkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 1,001 kes atau 40.7 peratus berbanding 2,461 kes baharu Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 757 kes atau 75.6 peratus adalah membabitkan kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Beliau berkata, kes kedua tertinggi diikuti oleh Kelantan sebanyak 257 kes (10.4 peratus) dan Johor sebanyak 233 kes (9.5 peratus).

"Sebanyak 298 kes (12.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Bukit Besi (146 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (50 kes), Kluster Tembok Bendera (39 kes), Kluster Tembok Tapah (33 kes), Kluster Damai Pelangi (13 kes), Kluster DTI Sepang 2 (8 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (6 kes), dan Kluster Tembok Mempaga (3 kes)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai perkembangan terkini Covid-19, hari ini.

Menurutnya, lapan kes kematian pada hari ini membabitkan empat kes di Sarawak, dan masing-masing satu kes di Selangor, Sabah, Perak, dan Kelantan. Semua kes kematian membabitkan warganegara. Dr Noor Hisham berkata, terdapat 10 kluster baharu yang dikenal pasti hari ini dan semua kluster adalah kluster berkaitan tempat kerja.

Menurutnya, empat kluster baharu dikesan di Johor iaitu Jalan Tanjung Enam, Jalan Wawasan 14, Batu Dua Setengah dan Jalan Lapangan Terbang.

"Dua kluster baharu dikenal pasti di Selangor iaitu Perdana Tiga dan Jalan Perusahaan Satu. Ada dua kluster baharu di Perak iaitu Batu Sebelas dan Jalan Pelabuhan.

"Manakala satu kluster baharu dikesan masing-masing di Sabah (Jalan Pasar) dan Negeri Sembilan (Tapak Bina Kasia)," katanya.

Berkenaan kluster di Malaysia katanya, sehingga 20 Februari 2021, sejumlah 1,608 kluster dikenal pasti.

Jumlah kluster yang tamat adalah 558 kluster termasuk 11 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Terolak, Kluster Persiaran Tasek, Kluster Jalan Mawila, Kluster Rawa Akasia, Kluster Pasar Baru, Kluster Sawmill Luit, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Kampung Badak, Kluster Jalan Ijuk, Kluster Belati, dan Kluster Setapak Indah.

"Jumlah kluster aktif adalah 510 kluster; jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah 91 kluster; dan kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tembok Bukit Besi (146 kes), Kluster Sungai Putus (128 kes), dan Kluster Tanjung Suria (64 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 7:04 PM