GAMBAR hiasan. FOTO Asyraf Hamzah.
GAMBAR hiasan. FOTO Asyraf Hamzah.
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Trend penurunan kes positif Covid-19 di bawah 2,000 sudah berterusan lebih seminggu apabila sebanyak 1,470 jangkitan baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif mencecah 322,409 dengan 16,711 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu, 1,458 adalah penularan tempatan membabitkan 1,099 (75.4 peratus) rakyat Malaysia dan 359 (24.6 peratus) lagi warga asing.

"Baki 12 jangkitan baharu adalah kes import membabitkan lapan warganegara dan empat bukan warganegara.

"Selangor mencatatkan kes tertinggi itu sebanyak 551 diikuti Sarawak (222), Pulau Pinang (178), Kuala Lumpur (158) dan Johor (101).

"Tiga kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan membabitkan tiga warganegara membawa kepada jumlah kumulatif 1,206 kes (0.37 peratus) hingga kini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 162 pesakit pula sedang dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) dengan 70 memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Dalam pada itu, seramai 1,830 pesakit Covid-19 sembuh menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 304,492 kes (94.4 peratus).

"Sebanyak 89 kes (6.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (49 kes; Kluster DTI Persiaran Wawasan (29 kes); Kluster Penjara Jalan Harapan (8 kes); Kluster Tembok Mempaga (2 kes); dan Kluster Tembok Taiping (1 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:01 PM