KEMTA di Kamunting, Taiping. Foto NSTP
KEMTA di Kamunting, Taiping. Foto NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA), Taiping di Perak bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan itu.

"Sehingga 24 Disember, KKM melaksanakan sebanyak 1,490 saringan terhadap tahanan dan daripada jumlah itu, 50 didapati positif Covid-19.

"Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di KEMTA serta kuartersnya sehingga 12 Januari 2021," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 142 individu dikenakan tindakan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara semalam.

Menurutnya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 78 kes, tidak memakai pelitup muka (53), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (9) dan lain-lain (2).

"Sebanyak 2,805 pasukan pematuhan yang membabitkan 12,136 anggota membuat pemantauan di 3,401 pasar raya, 4,567 restoran serta 1,807 penjaja, 1,402 kilang, 3,205 bank dan 611 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 901 terminal pengangkutan darat, 232 terminal pengangkutan air serta 83 terminal pengangkutan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas berhubung kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, seramai 93,728 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 75 Hotel dan 17 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

"Daripada jumlah itu, seramai 7,518 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 85,670 individu lagi dibenarkan pulang.

"Semalam juga, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 535 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (376), pemborong (135) dan pengilang (24), secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 5:18 PM