GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 413 individu ditahan selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 396 dikompaun manakala 17 lagi individu direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (101), tidak memakai pelitup muka (84), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (64), tiada penjarakan fizikal (48), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (78).

"Seramai 3,011 Pasukan Pematuhan melibatkan 13,139 anggota membuat pemantauan di 5,244 buah restoran, pasar raya (3,819), bank (3,400), penjaja (1,707), kilang (1,327), dan pejabat kerajaan (755).

"Turut dipantau ialah 937 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (234) dan terminal pengangkutan udara (87)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas berhubung Op Benteng dijalankan, Ismail Sabri berkata, seramai 32 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan merampas dua kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 105 bot dan kapal di perairan negara melalui lima lima aktiviti penglihatan.

"Sebanyak 540 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam oleh agensi-agensi keselamatan yang menyertai Op Benteng," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar, Johor dan Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC) di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA), Taiping, Perak.

"Atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di dua kawasan terbabit pada hari ini 29 Januari seperti yang dijadualkan,"katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 6:35 PM