FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Perak bermula 1 Mac sehingga 14 Mac ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak bermula 2 hingga 15 Mac ini.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di kedua-dua kawasan berkenaan dan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti terbabit.

"Keputusan diambil selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan KKM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, 509 individu ditahan kerana melanggar PKP semalam dengan 472 dikompaun dan 37 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (114), tidak memakai pelitup muka (94), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (92), tiada penjarakan fizikal (91), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (58), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (44), aktivit perjudian (2), ingkar arahan kuarantin (1) dan lain-lain (13).

"Seramai 3,052 Pasukan Pematuhan membabitkan 13,736 anggota membuat pemantauan di 6,065 buah restoran, pasar raya (4,556), bank (3,923), penjaja (2,264), pasar awam/tani (2,000), kilang (1,548) dan pejabat kerajaan (757).

"Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,558), tempat riadah (1,506), terminal pengangkutan darat (1,296), terminal pengangkutan air (277) dan terminal pengangkutan udara (99)," katanya.

Mengulas Mengulas mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan pihak berkuasa merampas bot serta lima kenderaan darat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 6:18 PM