KEADAAN pusat bandar Sandakan pada Oktober tahun lalu. Daerah Sandakan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 17 hihgga 30 April 2021. FOTO Bernama
KEADAAN pusat bandar Sandakan pada Oktober tahun lalu. Daerah Sandakan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 17 hihgga 30 April 2021. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Daerah Sandakan di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala satu kawasan di Tumpat, Kelantan serta Kuching, Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu berikutan berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 dan sembilan kluster baharu dilaporkan.

"Sehingga hari ini, sebanyak 46 kes baru direkodkan dan secara kumulatifnya sebanyak 6,806 keseluruhan kes dilaporkan di daerah Sandakan serta sebanyak 78 kes juga direkodkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di daerah Sandakan, Sabah berkuatkuasa 17 April sehingga 30 April ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga mengenakan PKPD di Sekolah Menegah Ugama (SMU) (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan dan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching serta kuarters kakitangan.

"Berlaku penularan jangkitan Covid-19 di kedua-dua lokaliti berkenaan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Susulan itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua kawasan berkenaan bermula 16 April sehingga 29 April ini,"katanya.

Menurutnya, sebanyak lima kawasan yang dikenakan PKPD sebelum ini ditamatkan bermula esok.

"Antara kawasan yang dikenakan PKPD sebelum ini ialah Kampung Baji, Sarikei, Sarawak; Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah; Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak; Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching,

Sarawak dan Kampung Binyu Baru, Bahagian Samarahan, Sarawak," katanya.

Sementara itu mengulas pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata, 55 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 54 dikompaun manakala seorang lagi direman.

"Seramai 3,605 Pasukan Pematuhan melibatkan 16,421 anggota telah membuat pemantauan di 4,228 pasar raya, restoran (5,127), kilang (2,199), bank (3,699), pejabat kerajaan (1,083) dan penjaja (3,816).

"Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,301), tempat ibadah (3,287), tempat riadah (1,569), terminal pengangkutan darat (1,804), terminal pengangkutan air (288) dan terminal pengangkutan udara (114)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 7:01 PM