GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pulau Tioman bermula esok sehingga 29 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung situasi kes Covid-19 di pulau peranginan Rompin, Pahang itu.

"Sehingga semalam, KKM melaksanakan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif direkodkan. KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Pulau Tioman bermula 16 Mac hingga 29 Mac 2021.

"Mesyuarat juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di daerah Nabawan, Sabah bermula 17 Mac sehingga 30 Mac ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, 458 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dengan 438 dikompaun, tujuh lagi direman dan 13 dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (260), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (90) gagal menyediakan peralatan, merekod diri dan pelanggan (40), tiada penjarakan fizikal (39), tidak memakai pelitup muka (26) dan beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (3).

"Seramai 3,253 pasukan pematuhan membabitkan 14,998 anggota membuat pemantauan di 6,767 restoran, pasar raya (4,668), bank (2,785), penjaja (4,256), pasar awam/tani (137), kilang (2,590) dan pejabat kerajaan (898).

"Turut dipantau ialah tempat ibadah (294), tempat riadah (18,718), terminal pengangkutan darat (3,502), terminal pengangkutan air (1,860) dan terminal pengangkutan udara (596)," katanya.

Mengulas mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan merampas empat kenderaan darat.

"Sebanyak 275 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam oleh agensi-agensi keselamatan yang menyertai Op Benteng," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:38 PM