Iskandar Halim mengulas laporan eksklusif akhbar Harian Metro
Iskandar Halim mengulas laporan eksklusif akhbar Harian Metro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 40 kes ketirisan dan 19 daripadanya membabitkan tangkapan berkaitan penyeludupan barangan kawalan berjadual seperti gula, minyak masak dan tepung (GMT) di Kelantan ke Thailand direkodkan tahun ini.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, sebanyak 136 pemegang lesen borong barang kawalan di Kelantan.

"Tindakan kes yang dihasilkan membabitkan barang kawalan berjadual berkaitan ketirisan dan penyeludupan bagi tahun ini adalah sebanyak 40 kes dan 19 kes daripada jumlah berkenaan membabitkan kes tangkapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Harian Metro yang membongkar penyeludupan minyak masak yang diseludup ke Thailand melalui Kelantan.

Laporan itu menyebut kerajaan merekodkan kerugian sebanyak RM600,000 sebulan atau RM7.2 juta setahun membabitkan minyak masak yang diseludup ke Thailand yang mana aktiviti berkenaan dikendalikan secara sistematik dan tersusun individu digelar 'Big Boss'.

Big Boss mengawal 10 pemborong minyak masak di Kelantan apabila minyak masak itu kemudian diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram Adam, pangkalan haram Pok Nuh dan melalui Jambatan Muhibah Rantau Panjang.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, hasil siasatan, modus operandi penyeludupan keluar barang itu menggunakan trak pickup serta motosikal bernombor pendaftaran Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta pangkalan haram di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

"Terdapat barangan kawalan di Malaysia yang dijual terutamanya di pasar-pasar utama di wilayah berkenaan yang menjadi punca utama terhadap permintaan gula, minyak masak, tepung gandum meningkat.

"Barang kawalan disyaki dibawa masuk bersama-sama barang harian lain bagi mengaburi pihak berkuasa sepanjang modus operandi sindiket melakukan penyeludupan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Iskandar berkata, KPDNHEP sudah mengambil 2,297 tindakan terhadap kes penyeludupan terutama di sempadan Malaysia sejak tahun 2016 sehingga kini.

Ia membabitkan kesalahan penyeludupan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel, minyak petrol, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), gula dan tepung gandum.

Katanya, ia membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM82.6 juta.

Iskandar berkata, pihaknya melaksanakan pelan tindakan membanteras penyeludupan barang kawalan bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand.

Berita berkaitan:

  • Bawah telunjuk 'Big Boss'
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 8:46 PM