Azman Ismail (tengah) bersama pegawai dan anggotanya memantau kawasan pangkalan haram di Pengkalan Kubor. FOTO IHSAN KPDN
Azman Ismail (tengah) bersama pegawai dan anggotanya memantau kawasan pangkalan haram di Pengkalan Kubor. FOTO IHSAN KPDN
Oleh Siti Rohana Idris


Tumpat: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mempergiatkan kawalan dan rondaan di pangkalan haram di daerah ini dalam usaha mengekang penyelewengan barangan subsidi.

Dianggarkan, lebih 30 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di Pengkalan Kubor di sini, dikenal-pasti aktif menjadi laluan penyeludupan barang kawalan dan subsidi ke Thailand.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, sejak Januari lalu, 26 tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1960 diambil membabitkan nilai rampasan RM144,077.

"Rampasan dibuat membabitkan gula, minyak masak, tepung gandum, petrol, diesel serta kenderaan.

"Kami juga mengesan banyak stor serta bangsal kecil yang didirikan di tebing sungai, termasuk bersebelahan rumah penduduk, yang dipercayai tempat menyimpan barangan kawalan sebelum dibawa menyeberang sungai.

"Pelbagai taktik dan strategi dilakukan penyeludup dari sehari ke sehari untuk meneruskan aktiviti penyelewengan ini namun kami bersama agensi keselamatan lain sentiasa mengenal-pasti taktik penyeludup," katanya pada kenyataan hari ini.

Azman berkata, pihaknya turut mempergiatkan usaha mencegah penyelewengan dengan melakukan rondaan di beberapa stesen minyak dalam radius 50 kilometer dari sempadan negara.

Katanya, pihaknya turut mengingatkan pengusaha stesen minyak supaya mematuhi undang-undang.

"Antara peringatan yang turut diberi termasuk tidak membenarkan pengisian berulang kali, kenal-pasti kenderaan asing serta elakkan pengisian oleh kenderaan yang mempunyai tangki tambahan.

"Pengusaha stesen minyak juga dinasihati supaya menentusahkan sukatan jualan petrol atau bahan bakar kepada pengguna yang berurusan di stesen mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 1:27 PM