Skuad Khas Harian Metro


SATU pengkhianatan kepada negara. Demikian tegas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berhubung ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan berjadual seperti gula, minyak masak dan tepung (GMT) di Kelantan ke Thailand.

Katanya, kementeriannya tidak akan berkompromi dengan perkara itu dan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti dalang terbabit tanpa mengira sama ada individu berkenaan berpengaruh atau tidak.

Menurutnya, tindakan berkenaan yang menyebabkan kerugian kepada hasil negara sebanyak RM600,000 sebulan atau RM7.2 juta setahun membabitkan minyak masak seperti dilaporkan Harian Metro adalah kes serius yang perlu ditangani dengan kadar segera.

"Isu yang dilaporkan Harian Metro ini iaitu barangan harian yang diseludup ke Thailand yang mana aktiviti berkenaan dikendalikan secara sistematik dan tersusun individu digelar 'Big Boss' amat kita kesali.

"Saya ingin tegaskan, walau siapa pun orang itu. ada kedudukan, berpengaruh atau kaya, kita akan siasat kerana ini memberi kesan keseluruhan kepada negara," katanya kepada Harian Metro.

ROSOL Wahid. FOTO arkib NSTP
ROSOL Wahid. FOTO arkib NSTP

Rosol berkata, beliau percaya bahagian penguatkuasa kementerian sudah menjalankan tugas dengan baik dan amanah untuk memastikan segala tanggungjawab diberikan dijalankan sebaik mungkin.

"Kita mengalu-alukan kerjasama dari segi maklumat orang ramai untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau mengulas kenyataan sumber kepada Harian Metro yang mendakwa kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi Malaysia ke Thailand melalui Kelantan didalangi pesara kerajaan digelar Big Boss.

Ia susulan laporan ekslusif Skuad Khas Harian Metro yaang mendedahkan lelaki itu dikatakan mengawal 10 pemborong minyak masak di Kelantan apabila minyak masak itu kemudian diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram Adam, pangkalan haram Pok Nuh dan melalui Jambatan Muhibah Rantau Panjang.

Berita berkaitan:

  • Bawah telunjuk 'Big Boss'
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 6:11 PM