SINDIKET gemar melakukan kegiatan penyeludupan pada waktu malam.
SINDIKET gemar melakukan kegiatan penyeludupan pada waktu malam.
Skuad Khas Harian Metro


TUMPAT: Biarpun berdepan pandemik Covid-19, mereka dikatakan mampu menjana pendapatan hingga ratusan ribu ringgit sehari.

Jumlah itu dapat dihasilkan pemilik stor atau pangkalan haram dengan menyeludup pelbagai barangan bersubsidi dari Malaysia ke Thailand melalui Sungai Golok di sini, hingga menjadikan mereka jutawan.

Hasil kolaborasi Skuad Khas Harian Metro bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga (W3) Pengkalan Kubor berjaya menumpaskan sindiket Pok Mat yang aktif menjalankan kegiatan itu.

Serbuan diketuai Pegawai Pemerintah PPM W3 Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad pada jam 9 malam, Khamis lalu yang berjaya menahan dua ahli sindiket berusia 30-an.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya merampas dua kereta Proton Saga dan Proton Wira bersama 170 liter petrol dianggarkan bernilai lebih RM11,000.

Mengulas modus operandi kumpulan itu, Mohd Rudzuan berkata, pemilik stor menyediakan tong kosong berdasarkan permintaan rakan kongsi atau tauke dari Thailand.

"Mereka gunakan timbangan dalam urus niaga itu. Contohnya 23 kilogram (kg) petrol diisi dalam tong atau lebih kurang 30 liter," katanya.

Mohd Rudzuan berkata, sindiket mengisi petrol atau diesel di stesen minyak di sini sebelum dibawa ke stor di tebing Sungai Golok.

"Mereka menggunakan alat untuk mengepam petrol keluar dari kenderaan ke dalam tong.

"Petrol diserah kepada tekong bot warga Thailand yang menanti di Sungai Golok," katanya.

Mohd Rudzuan berkata, sindiket aktif bergerak pada waktu malam dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam perkembangan sama, katanya, stor atau pangkalan haram itu juga digunakan untuk menyeludup tepung gandum, minyak masak, dadah dan ketum antara kedua-dua negara.

"Kalau dadah, ia diseludup dari Thailand ke Malaysia, sebaliknya (Malaysia-Thailand) membabitkan barangan bersubsidi dan ketum," katanya.

Untuk rekod, dari Januari hingga Jun lalu, 136 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai rampasan RM1.14 juta.

Mohd Rudzuan berkata, kawasan tanggungjawab PPM W3 adalah 20 kilometer dari Kuala Tak Bai hingga Kubang Pak Itam.

"Kawasan ini saja ada sebanyak 58 stor atau pangkalan haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:55 AM