Skuad Khas Harian Metro

HARGA RM150 bagi setiap kilogram (kg) daun ketum berbanding RM15 di pasaran Malaysia menjadikan barangan terlarang itu banyak diseludup ke Thailand.

Malah, permintaan tinggi daun ketum yang direbus sebelum airnya dicampur dengan ubat batuk dan air minuman berkarbonat atau lebih dikenali sebagai cakoroi dilapor menjadi fenomena di negara gajah putih itu menyebabkan sindiket penyeludupan berlumba membawanya masuk ke Thailand.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tak Bai Kapten Samreng Ketkew berkata, harga mahal daun ketum dan permintaan tinggi di negaranya menyebabkan sindiket sanggup mengambil risiko melakukan perbuatan berkenaan.

"Di Thailand, daun ketum dijual dengan harga RM150 bagi setiap kilogram.

"Permintaannya pula tinggi, jadi sindiket sememangnya aktif menyeludup daun ketum dari Malaysia ke Thailand terutama di Sungai Golok.

"Ini kerana jarak sempadan antara Malaysia-Thailand yang dekat dipisahkan dengan Sungai Golok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika rondaan bersama antara Polis Diraja Thailand bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor di Sungai Golok, baru-baru ini.

Menjawab soalan wartawan, Samreng berkata, di Thailand permintaan cakoroi sangat tinggi.

"Mereka akan campur air ketum dengan ubat batuk dan minuman bergas (berkarbonat) untuk diminum," katanya.

Kata beliau, pihaknya dan PPM Wilayah 3 akan terus bekerjasama bagi mengawal kegiatan penyeludupan termasuk daun ketum yang berlaku di kawasan sempadan kedua-dua negara.

"Kita akan bertukar maklumat semua aktiviti jenayah sama ada seludup daun ketum, dadah, minyak masak, diesel, petrol dan migran," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya sudah mengenal pasti dalang yang menerima bekalan daun ketum ataupun barangan bersubsidi yang diseludup ke negaranya, Samreng berkata, pihaknya mempunyai rekod mengenai perkara itu.

Rondaan bersama antara Polis Diraja Thailand bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor di Sungai Golok.
Rondaan bersama antara Polis Diraja Thailand bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor di Sungai Golok.

"Saya tidak dapat dedahkan di sini (pertemuan ini), tetapi memang ada senarai nama mereka yang terbabit dalam kegiatan berkenaan," katanya tanpa mengulas lanjut bentuk tindakan yang sudah atau akan diambil kepada mereka yang terbabit.

Beliau berharap, rakyat Malaysia yang mendiami kawasan Sungai Golok tidak bersekongkol dengan sindiket.

"Ini nasihat saya, jauhkan diri daripada sindiket jika tidak mahu ditahan," katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu Harian Metro bahawa terdapat dua kaedah jualan daun ketum di negara gajah putih itu.

"Dijual ikut helai daun iaitu RM10 bagi 20 helai daun ketum. Manakala RM60 bagi cakoroi (bungkus)," katanya.

Mengulas mengenai rondaan bersama PPM W3, Samreng berkata, ia dilakukan hampir setiap bulan.

Penagih ketum Thai harap bekalan Malaysia

Undang-undang ketat berkaitan penanaman pokok ketum di Thailand menyebabkan penagih ketum di negara itu bergantung kepada bekalan daun ketum yang diseludup dari Malaysia.

Ini menyebabkan daun ketum dari Malaysia mendapat permintaan tinggi di negara itu yang diseludup melalui Sungai Golok ke Thailand.

Malah, disebabkan permintaan tinggi, harga pasaran daun ketum di negara itu menjadi 10 kali ganda lebih mahal berbanding Malaysia.

Perkara itu diakui Pegawai Pemerintah PPM W3 Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad mengulas kenyataan Timbalan Ketua Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tak Bai Kapten Samreng Ketkew.

Rudzuan Ahmad (kiri) bersama anggota Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 285 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM30,650.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rudzuan Ahmad (kiri) bersama anggota Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 285 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM30,650. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Samreng mendakwa, daun ketum antara barangan terlarang yang diseludup melalui Sungai Golok disebabkan permintaan tinggi di negaranya.

Mengulas lanjut, Mohd Rudzuan berkata, pihaknya dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta lain-lain agensi penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand sentiasa berusaha mengekang kegiatan itu.

"Daun ketum, minyak masak, tepung gandum, petrol dan diesel diseludup ke sana (Thailand) manakala beras, dadah pula diseludup dari sana (Thailand) ke sini (Malaysia)," katanya.

Untuk rekod, PPM W3 menumpaskan cubaan menyeludup 285 kilogram (kg) daun ketum yang ditinggalkan dua lelaki dalam bot galah di pangkalan haram di pinggir Sungai Mentua, Pengkalan Kubor, jam 1 pagi, 18 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 10:00 AM