MINYAK masak bersubsidi yang berjaya dirampas untuk tujuan penyeludupan. FOTO Ihsan KPDNHEP
MINYAK masak bersubsidi yang berjaya dirampas untuk tujuan penyeludupan. FOTO Ihsan KPDNHEP
Hazira Ahmad Zaidi

Pasir Mas: Sindiket penyelewengan barangan bersubsidi menggunakan lori tanah untuk membawa minyak masak paket dari kilang pembungkusan ke stor haram di pangkalan haram Mat Yih, Jeram Perdah di sini sebelum diseludup ke negara jiran.

Taktik itu terbongkar susulan kejayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 2,482 kilogram minyak masak paket bersubsidi bernilai RM6,205 di situ semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, serbuan dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor, Tumpat, dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 dalam Operasi Membanteras Penyeludupan dan Ketirisan Barang Kawalan Bersubsidi pada jam 5 petang.

Katanya, pasukan risikan mengesan sebuah lori tiga tan dari Pasir Putih menuju ke sempadan negara iaitu di sebuah pangkalan haram di Pasir Mas sebelum melakukan serbuan ke atas sebuah stor haram di pangkalan haram Mat Yih pada jam 7 malam.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan di sekitar kawasan stor berkenaan menjumpai sebuah lori mengangkut tanah yang mencurigakan disyaki digunakan untuk membawa dan penyeludupan minyak masak paket bersubsidi.

"Pemeriksaan lanjut turut menemukan 2,482 kilogram minyak masak paket satu kilogram di bahagian belakang lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azanizam Affendi berkata, pihaknya percaya modus operandi yang digunakan ialah bergerak dari kilang pembungkus menggunakan lori mengangkut tanah bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan ini dikesan dan mengaburi pihak berkuasa.

"Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat kerana suspek dipercayai terlebih dahulu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa," katanya.

Semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam perkembangan lain, menerusi Operasi Bersepadu antara Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Pengkalan Kubor semalam turut mematahkan cubaan penyeludupan petrol ke negara jiran.

"Pasukan serbuan mengesan pergerakan sebuah kereta melakukan pemunggahan petrol dari stesen minyak berhampiran sempadan negara yang stesen diisi ke dalam tong.

"Pasukan berjaya menahan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang mencurigakan di tepi jalan berhampiran Pengkalan Kubor. Namun pemandu melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Pemeriksaan menemukan 18 tong berisi petrol dengan anggaran sebanyak 540 liter diletakkan di dalam but kenderaan," katanya.

Katanya, rampasan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan nilai sitaan dianggarkan lebih RM,600 termasuk kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 2:09 PM