PUTRI Nur Syazaliyana Sharizam, 12, (kanan) mengajar adiknya Amirul Fahim, 7, menyiapkan kerja sekolah dalam talian. FOTO Danial Saad.
PUTRI Nur Syazaliyana Sharizam, 12, (kanan) mengajar adiknya Amirul Fahim, 7, menyiapkan kerja sekolah dalam talian. FOTO Danial Saad.
Mahaizura Abd Malik


LEBIH 70 peratus ibu bapa dan penjaga di Semenanjung menerima pakai pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) maya disediakan guru dan pejabat pendidikan daerah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, peratusan sambutan menggunakan kaedah berkenaan semakin memberangsangkan dan meningkat berbanding permulaan pelaksanaan PKP apabila mendapat kerjasama yang baik antara guru dan ibu bapa.

"Setakat ini, lebih 70 peratus penggunaan PdP maya apabila ramai ibu bapa dan penjaga sudah semakin memahami keadaan ini. Mahu tidak mahu semua kena akur terima PdP maya kerana hanya inilah satu-satunya cara memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Saban hari guru dan pejabat pendidikan daerah juga sudah semakin kreatif mempelbagaikan kaedah PdP dan soalan secara maya dengan mencipta perisian atau tapak sendiri untuk memudahkan semua pelajar seluruh negara mengakses bahan itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, KGMMB juga tidak ketinggalan menyediakan tugasan rumah yang boleh diakses menerusi format Google Forms dalam usaha membantu Kementerian Pendidikan merancakkan lagi PdP secara maya.

"Pelajar dan murid boleh mengakses soalan dan jawapan disediakan dalam Google Forms.

"Setakat ini, platform ini dimanfaatkan lebih 20,000 murid dan pelajar seluruh negara.

"Selalu saya tekankan, walaupun menggunakan pendekatan PdP maya guru bukan sekadar memberikan kerja rumah tetapi semakan juga perlu kerana penting pembetulan dilakukan segera," katanya.

Jasni berkata, PdP juga masih diteruskan menerusi panggilan telefon, video, WhatsApp mahupun Telegram bagi memastikan komunikasi antara guru dan pelajar tidak terputus ketika PKP.

"Kita tidak bersetuju dengan edaran salinan tugasan dan bahan PdP rumah ke rumah. Memang satu niat murni guru tetapi tindakan ini membahayakan kerana keutamaan kita sekarang adalah keselamatan semua pihak serta memutuskan rantaian Covid-19.

"Bagi mereka yang tiada peranti dan Internet, ibu bapa boleh menggunakan buku teks kerana ia satu bahan rujukan terbaik lengkap dengan soalan.

"Saya rasa edaran salinan bahan

rumah ke rumah tidak perlu dan tiada alasan lagi untuk tidak meneruskan pembelajaran ketika PKP kerana saya yakin ibu bapa boleh memantau anak masing-masing di rumah serta pada masa sama kekal berhubung dengan guru untuk kelancaran PdP maya," katanya.

Dalam pada itu katanya, KGMMB turut menyumbang RM55,000 ke Tabung Covid-19 sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

"Sumbangan ini atas persetujuan 55,000 ahli kita yang mana kita menggunakan tabung dana KGMMB untuk membantu petugas barisan hadapan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 1:12 PM