KAKITANGAN sekolah menampal tanda penjarakan dimeja kantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) selepas kerajaan mengeluarkan garis panduan pergerakan pelajar di sekolah bermula daripada setibanya pelajar di sekolah hingga pulang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KAKITANGAN sekolah menampal tanda penjarakan dimeja kantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) selepas kerajaan mengeluarkan garis panduan pergerakan pelajar di sekolah bermula daripada setibanya pelajar di sekolah hingga pulang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mahaizura Abd Malik


BERGILIR-gilir antara pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka dalam kelas dan secara maya di rumah bagi meminimumkan kontak rapat antara pelajar dan guru.

Itu cadangan pakar pendidikan, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed yang melihat sistem penggiliran itu lebih sesuai diamalkan dalam PdP normal baharu untuk pelajar tingkatan lima dan enam yang bakal memulakan sesi persekolahan kelak.

Katanya, kaedah itu boleh mengurangkan kekerapan kehadiran pelajar dan guru ke sekolah sekali gus mengelak risiko penularan Covid-19.

"Untuk elak sebarang risiko, kita tidak boleh balik (rutin) seperti asal, perlu kurangkan kapasiti dan kehadiran pelajar dalam kelas.

"Saya cadangkan bergilir-gilir buat kelas bersemuka di sekolah dan atas talian kerana cara ini dapat mengurangkan kontak antara guru dan pelajar di sekolah.

"Pada masa sama, tempoh PdP dalam kelas di sekolah juga dipendekkan antara tiga atau empat jam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu saja," katanya kepada Harian Metro.

Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Antarabangsa Albukhary itu berkata, semua pihak perlu menyesuaikan diri dan memainkan peranan bagi memastikan aspek kesihatan, pendidikan dan sosial tidak bertentangan antara sama lain dalam menghadapi cabaran normal baharu.

"Sampai bila kita hendak (biar anak tidak pergi sekolah) macam ini, takut bukan saja ketinggalan pelajaran tetapi kesan psikologi termasuk tekanan dan kemurungan apabila tidak dapat keluar jumpa rakan dan sebagainya," katanya.

Abdul Rashid berkata, ibu bapa perlu lepaskan perlahan-lahan anak mereka ke sekolah namun yang penting kontak dan jarak sosial perlu patuhi termasuk tidak berkumpul ramai selain pakai pelitup muka.

"Selain itu, pihak sekolah perlu ambil tindakan awal untuk elak penularan di sekolah serta ibu bapa memainkan peranan membantu apa diperlukan," katanya.

Katanya, pembukaan sesi persekolahan untuk kumpulan pelajar dan murid lain masih belum sesuai buat masa ini.

"Kita cuba dulu pelajar tingkatan lima dan enam, kalau hendak buka sekolah untuk murid lain sudah tentu perlukan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

"Bagi saya wajar sekolah tidak dibuka untuk pelajar lain sampai hujung tahun sekurang-kurangnya ada vaksin barulah kita buka sepenuhnya tambahan bukan mudah mengawal kanak-kanak mematuhi penjarakan sosial dan jalani rutin normal baharu.

"Namun, sesi PdP perlu diteruskan secara atas talian kerana pendidikan tidak boleh terhenti walaupun Covid-19 cuma isunya kaedah ini menimbulkan kekangan seperti pelajar tiada kemudahan Internet yang baik dan peranti sesuai.

"Alternatifnya, pihak sekolah perlu bijak memanfaatkan kemudahan yang terdapat di sekolah misalnya membuka sekolah sebagai tempat pelajar mengakses Internet dan komputer bagi memastikan pelajar yang tiada kemudahan itu dapat meneruskan PdP dalam talian mereka," katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan mengutamakan pembukaan sesi persekolahan untuk pelajar tingkatan lima dan enam yang bakal mengambil peperiksaan penting dengan garis panduan baharu selari dengan SOP diputuskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semalam, Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah mula diedarkan kepada sekolah serta boleh dimuat naik di laman sesawang KPM, namun masih timbul kegusaran terutama jika pelajar terbabit tidak dapat mengamalkan kawalan kendiri masing-masing ketika berada di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 6:17 PM