TINJAUAN orang ramai mengunjungi kedai menjual komputer riba di Kompleks Karamunsing. FOTO MOHD ADAM ARININ
TINJAUAN orang ramai mengunjungi kedai menjual komputer riba di Kompleks Karamunsing. FOTO MOHD ADAM ARININ
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Selain membeli peranti baru yang murah dan mampu milik, ibu bapa turut mensasarkan peranti terpakai bagi memenuhi keperluan anak-anak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR).

Tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati pelaksanaan PdPR secara tidak langsung memberi kesan peningkatan penjualan telefon pintar, komputer riba serta tablet di pasaran.

Penyelia kedai telefon pintar, Geeryleon Alimus, 23, berkata penjualan peranti itu meningkat sejak kerajaan mengumumkan pembelajaran secara maya pada sesi persekolahan baru-baru ini.

Katanya, ramai ibu bapa membeli telefon pintar supaya anak mereka dapat meneruskan mengikuti PdPR.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, hampir setiap hari mesti ada ibu bapa yang datang ke kedai ini untuk beli telefon pintar bagi anak mereka.

"Ada juga ibu bapa yang membeli sehingga empat atau lima telefon pintar kerana memiliki anak yang ramai.

"Kebiasaannya, kita akan mencadangkan telefon yang mempunyai harga berpatutan sekitar RM300 sehingga RM400 namun masih mampu memenuhi keperluan murid atau pelajar sekolah," katanya.

Bagi jurujual kedai komputer, Edmund Johnson, 39, komputer riba turut menjadi pilihan ibu bapa yang datang ke kedainya bagi kegunaan sepanjang PdPR.

Katanya, ramai yang memilih komputer riba terpakai yang lebih murah berbanding yang baharu tetapi dilengkapi dengan keperluan mencukupi untuk mengikuti pembelajaran secara maya.

"Tidak semua ibu bapa mampu menyediakan peranti baharu, maka kedai ini turut memberikan pilihan peranti terpakai dengan harga lebih murah dan dalam masa sama boleh digunakan untuk mengikuti kelas secara maya," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Norliani Mahadi, 43, berkata dia terpaksa membaiki sebuah tablet lama untuk kegunaan anak lelakinya untuk memudahkan proses sesi PdPR.

"Saya mengambil keputusan membaiki peranti lama kerana harga peranti yang dijual sekarang sedikit mahal.

"Oleh itu, saya lihat membaiki peranti yang sedia ada di rumah lebih menjimatkan berbanding beli baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 2:10 PM