ALLAHYARHAM Datuk Ismail Kamus. FOTO arkib NSTP
ALLAHYARHAM Datuk Ismail Kamus. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


"ABAH orangnya kelakar, suka bergurau dan sangat sayang cucu-cucunya, kehilangan abah ibarat kehilangan ilmu tempat 'bergantung'," kata anak lelaki sulung Allahyarham Datuk Ismail Kamus yang menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi 15 Ramadan, semalam.

Mohd Firdaus Ismail, 43, berkata arwah bapanya bukan saja disenangi oleh keluarga bahkan alim ulama, anak didik, rakan-rakan dan orang sekelilingnya.

Sering berdampingan dengan arwah sejak kecil, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Firdaus berkata, dia tidak pernah lupa kenangan manis yang dipahat bersama bapanya, malah beliau mengakui dirinya menjadi ustaz adalah berkat doa daripada bapa.

Katanya, arwah memang hebat berbahasa Arab dan pakar dalam ilmu Nahwu Shorof tatabahasa Arab.

"Selalunya kalau dengan abah saya jarang berborak selain daripada berkenaan perkongsian ilmu. Abah juga begitu menekankan mengenai solat dan sejak kecil kami dididik untuk tidak meninggalkan solat, malah abah suka berpesan supaya selepas solat jangan lupa solat sunat.

ALLAHYARHAM Datuk Ismail  Kamus (duduk tengah) bersama isteri, anak dan cucunya. FOTO Ihsan Keluarga.
ALLAHYARHAM Datuk Ismail Kamus (duduk tengah) bersama isteri, anak dan cucunya. FOTO Ihsan Keluarga.

"Walaupun seorang yang berpengetahuan dalam pelbagai ilmu, namun abah sama sekali tidak pernah mengongkong anak-anak dan kami diberi kebebasan memilih bidang kerjaya yang diminati. Boleh dikatakan abah seorang yang 'open minded'.

"Malah, abah menyokong pilihan adik bongsu kami yang memilih kerjaya juruterbang dan menasihati supaya menjadi juruterbang beriman," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi , hari ini.

Anak kedua daripada empat beradik itu bagaimanapun tetap akur dengan ketentuan Ilahi apabila terpaksa melepaskan pemergian bapanya semalam dan bersyukur proses pengebumian berjalan lancar.

"Terlalu banyak kenangan bersama dan kesedihan ini sangat terasa kerana banyak kenangan dengan arwah dan bila sakit sejak beberapa tahun kebelakangan ini kami jadi lagi rapat. Saya yang sering mandikan dan menghantarnya ke pusat dialisis," katanya yang masih teringat arwah menghubunginya supaya membeli makanan kegemaran arwah iaitu Salik (bubur kambing) sebelum arwah dimasukkan ke hospital.

Ustaz Firdaus berkata, arwah juga jenis seorang yang berfikiran terbuka dan tidak pernah lokek dengan ilmu sama ada ilmu Bahasa Arab ataupun ilmu perubatan Islam.

"Abah juga jenis tidak berkira dan berkawan dengan sesiapa pun sampaikan golongan ulama besar suka dengannya dan arwah mempunyai ramai anak angkat.

"Sememangnya arwah sangat disenangi oleh semua orang, malah apabila mendapat perkhabaran mengenai pemergian arwah, anak-angkat angkat beliau yang berkunjung semalam turut menangis.

"Pada pandangan saya, arwah disayangi seluruh rakyat Malaysia dan saya tidak menyangka beliau meninggal pada hari Jumaat dengan cuaca yang redup dan dipermudahkan, semua itu rahmat daripada Allah SWT.

"Ada satu pengalaman waktu saya mandikan abah wajahnya kelihatan berseri bahkan ada yang melihatnya tersenyum," katanya yang selepas ini bercadang untuk meneruskan legasi Allahyarham serta menjaga ibunya yang kini berusia 63 tahun.

Pendakwah terkenal itu meninggal dunia di rumahnya di Ampang, Selangor semalam di samping keluarga.

Beliau meninggal dunia pada usia 72 tahun turut meninggalkan seorang isteri, empat anak serta 15 cucu.

Allahyarham bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 serta pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan juga pengasas Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia.

Berita berkaitan

Jenazah lembut dan tenang bagaikan tidur

Agong zahir takziah kepada keluarga Ustaz Ismail Kamus

'Bisikan kalimah syahadah terakhir'

Arwah Ismail Kamus pemurah, suka bersedekah

Ismail Kamus permata di zamannya

Tuan Guru Ismail Kamus selamat dikebumikan

Ceramah Tuan Guru Ismail Kamus sentiasa ditunggu

Tuan Guru Ismail Kamus meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 8:33 PM