GAMBAR kenangan  Mohd Asri bersama Allahyarham Ismail. FOTO Facebook Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
GAMBAR kenangan Mohd Asri bersama Allahyarham Ismail. FOTO Facebook Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PENDAKWAH terkenal, Datuk Ismail Kamus disifatkan sebagai tokoh pendakwah terkenal dan permata yang begitu penting di zamannya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kehilangan Ismail sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada beliau berikutan Allahyarham pernah menjemputnya ke satu majlis tujuh tahun lalu.

Katanya, meskipun Ismail ketika itu tidak sihat, namun Allahyarham tetap melayani beliau disamping memberikan nasihat berkaitan pengurusan rumah tangga khusus bagi yang berpoligami kepadanya.

"Al-Fadhil Datuk Ismail Kamus rahimahullah tokoh penting pada zamannya dan sumbangan beliau mempunyai kesan yang tersendiri dalam perkembangan dakwah masyarakat kita.

"Kita yang mewarisi sumbangan tokoh seperti beliau perlulah kita untuk menghargai mereka, dalam masa yang sama mengakui bahawa masih ada ruang yang perlu dipenuhi dan diisi (diperbaiki ketika berdakwah). Bahkan juga, mungkin dikemas kini," katanya menerusi satu entri di Facebook, hari ini.

Menceritakan pengalaman Mohd Asri ketika di bangku sekolah, didikan Allahyarham ketika itu terhadap masyarakat pada zamannya begitu disenangi umum.

"Semasa saya di sekolah menengah lagi, suara beliau yang selalu berkumandang dalam kaset ceramah selain gurau sendanya menjadi ajukan ramai malah mendidik dalam gurauan dan sindiran yang mesra.

"Saya pernah mendapat jemputan makan oleh beliau tujuh tahun lalu, namun saya bukan hadir hendak makan tapi hadir menghormati ketokohan dan sumbangan beliau.

"Antara yang saya ingat dan menarik hati ialah walaupun beliau kurang sihat ketika itu, beliau tetap bersembang tentang poligami dan bagaimana beliau mengamalkannya.

"Dari situ terlihat kemampuan beliau mengendalikan para isteri dan menjadikan kami yang lebih muda ketika itu tersenyum dan terhibur. Setiap perkataan beliau menjadikan saya tersenyum dan rasa sayang padanya," katanya.

Mohd Asri berkata, pemergian Ismail begitu dirasainya dan sebagai manusia yang masih hidup adalah dituntut oleh Islam agar mendoakan keampunan untuk Allahyarham.

Pendakwah terkenal itu meninggal dunia di rumahnya di Ampang, Selangor, 12.29 tengah malam tadi.

Allahyarham bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Berita berkaitan

Ceramah Tuan Guru Ismail Kamus sentiasa ditunggu

Tuan Guru Ismail Kamus selamat dikebumikan

Tuan Guru Ismail Kamus meninggal dunia

Dakwaan Ismail Kamus meninggal palsu

Ismail Kamus bertambah baik

Doakan ayah saya - Firdaus Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 11:57 AM