ISMAIL Kamus pernah beri rawatan kepada Kazim Elias yang sakit misteri. FOTO Arkib NSTP
ISMAIL Kamus pernah beri rawatan kepada Kazim Elias yang sakit misteri. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

MEMPUNYAI akhlak terpuji, berkata-kata dengan lemah lembut, tidak berprasangka dan tidak gemar bercakap tentang perkara yang tiada faedah.

Itu keperibadian dua tokoh dakwah di negara ini iaitu Allahyarham Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia pada 16 September 2016 dan terbaru, Allahyarham Tuan Guru Datuk Ismail Kamus yang pergi menghadap Ilahi, kelmarin.

Kedua-dua tokoh itu figura penting dalam persada dakwah dan memiliki keperibadian yang hampir sama dengan tutur kata lemah lembut.

Pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias yang mengenali kedua-dua tokoh berkenaan secara peribadi menzahirkan rasa kehilangan besar buat negara ini apabila kedua-duanya dipanggil ke pangkuan Ilahi.

"Tuan Guru Datuk Dr Haron dan Datuk Ismail idola saya. Sejak daripada remaja lagi saya sering mendengar ceramah mereka di kaset dan menghadapi ceramah perdana mereka yang pastinya dihadiri ribuan orang.

"Mengenali dua figura ini, mereka memiliki keperibadian hampir sama iaitu akhlak mereka sangat terpuji. Kedua-dua tokoh ini tidak suka bercakap perkara yang tidak berfaedah dan tutur katanya sangat lemah lembut dan berseni.

"Berseni ini maksud saya berkias dalam menyampaikan mesej. Dalam jenaka, dalam gurauan dan senda mereka tatkala menyampaikan ilmu ada mesej yang ingin disampaikan. Itulah dua tokoh murabbi ummah, kita kehilangan seorang lagi (Allahyarham Datuk Ismail Kamus)," katanya dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, sudah ditakdirkan oleh Allah SWT kedua-dua tokoh berkenaan turut dijemput-Nya pada hari baik iaitu Jumaat yang juga penghulu segala hari.

"Arwah Datuk Ismail pernah merawat saya tatkala saya mengalami penyakit misteri.

"Ketika krisis pusat tahfiz saya beberapa tahun lalu sehingga saya ingin menjualnya, arwah (Datuk Ismail Kamus) menghubungi saya dan menasihati supaya saya bersabar dan pasti Allah SWT akan memudahkan jalan," katanya.

Mengimbau kenangan bersama Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, Mohd Kazim berkata, beliau pernah diminta oleh arwah menggantikannya untuk membacakan doa sedangkan ketika itu dia hanya penceramah biasa berbanding Allahyarham yang sangat disegani.

"Ketika itu sekitar lewat 90-an, saya bersama arwah di satu majlis ceramah, tidak semena-mena beliau panggil saya...beliau buat pengumuman lebih kurang begini kata-katanya, 'saya minta Ustaz Kazim ganti bacakan doa untuk saya...'. Saya kelu, terpaku dan terkejut.

"Peristiwa lain tidak dapat dilupakan sebelum arwah berangkat ke Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan rawatan jantung, arwah tanya keadaan jantung saya dan arwah meletakkan tangan di dada saya sambil berdoa. Sehingga ke hari ini saya akan menitiskan air mata tatkala mengenangkan kembali begitu hebat keperibadian dua tokoh murabbi ini," katanya.

Berita berkaitan

Sultan Selangor zahir rasa dukacita pemergian Ismail Kamus

Jenazah lembut dan tenang bagaikan tidur

Agong zahir takziah kepada keluarga Ustaz Ismail Kamus

'Bisikan kalimah syahadah terakhir'

Arwah Ismail Kamus pemurah, suka bersedekah

Ismail Kamus permata di zamannya

Tuan Guru Ismail Kamus selamat dikebumikan

Ceramah Tuan Guru Ismail Kamus sentiasa ditunggu

Tuan Guru Ismail Kamus meninggal dunia

Dakwaan Ismail Kamus meninggal palsu

Ismail Kamus bertambah baik

Doakan ayah saya - Firdaus Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 8:02 AM