KEADAAN kereta mangsa yang terbabas di Kilometer 47 Jalan Ipoh - Lumut dekat Bota, hari ini. FOTO ihsan polis
KEADAAN kereta mangsa yang terbabas di Kilometer 47 Jalan Ipoh - Lumut dekat Bota, hari ini. FOTO ihsan polis
Noor Hidayah Tanzizi


TIGA maut termasuk bayi lelaki berusia 25 hari manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 47 Jalan Ipoh - Lumut dekat Bota, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu Proton Wira yang juga kakitangan Pejabat Pertanian Titi Gantong, Zamzainal Ahmad Kusharay, 49; ibu mentuanya, Salmah Abdul Manap, 65.

Selain itu, turut maut ialah bayi lelaki Zamzainal iaitu Mior Muhammad Qalish Zamzainal yang baru berusia 25 hari.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, dua lagi ahli keluarga yang cedera ialah isteri Zamzainal yang berusia 32 tahun dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu dari arah Lumut menghala ke Ipoh sebelum hilang kawalan lalu terbabas.

“Apabila tiba di lokasi kejadian kereta yang berada di laluan kanan dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar penghadang jalan besi sebelah kanan.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta dan ibu mentuanya mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bayi lelaki pula disahkan meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang namun kecederaannya masih belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, isteri mangsa dan seorang lagi anak pasangan itu dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 7:15 PM