KEADAAN kereta Proton Saga yang terbabit nahas tiga kenderaan dekat Klebang Restu. Foto tular media sosial
KEADAAN kereta Proton Saga yang terbabit nahas tiga kenderaan dekat Klebang Restu. Foto tular media sosial
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang lelaki bersama bayinya maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Kangsar dekat Klebang Restu, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 7.21 pagi tadi, Muhammad Fakhrul Najmi Roslan, 26, maut di tempat kejadian manakala bayinya Naura Adleena berusia 11 bulan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, nahas membabitkan kereta Proton Saga yang dinaiki dua beranak itu dengan sebuah kereta jenis Mercedes Benz serta sebuah Perodua Alza.

Beliau berkata, Katanya, nahas berpunca apabila pemandu Proton Saga keluar simpang sebelum dirempuh Mercedes Benz yang datang dari arah Sungai Siput menghala Ipoh.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan Proton Saga berkenaan terbabas sebelum ia merempuh Perodua Alza yang berada di susur kiri jalan dari arah Jalan Klebang Restu.

"Pemandu Proton Saga meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayi perempuannya di tempat duduk penumpang yang parah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

"Mangsa lain yang terbabit dalam nahas ini bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan petang ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta individu menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Shahrul Rizwan Wan Ali di talian 013-6218531 atau tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 8:43 PM