ISMAWATI menunjukkan gambar abangnya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
ISMAWATI menunjukkan gambar abangnya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Noor Hidayah Tanzizi


“SAYA tak sangka rupanya mangsa kemalangan itu adalah abang sendiri. Saya panggil Chor (arwah Zamzainal) berulang kali walaupun Chor tidak menyahut dan kaku, luluh hati saya lihat dia dalam keadaan begitu,” kata Ismawati Ahmad Kusharay.

Ismawati ialah adik kepada Zamzainal Ahmad Kusharay, 49, yang maut selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 47 Jalan Ipoh - Lumut dekat Bota, hari ini.

Nahas turut mengorbankan ibu mentuanya, Salmah Abdul Manap, 65, dan bayi lelakinya, Mior Muhammad Qalish Zamzainal yang baru berusia 25 hari manakala isteri, Nor Iashah Abd Rani, 32 dan seorang lagi anak lelakinya, Mior Mohamad Harraz, 3, cedera.

Ismawati berkata, ketika kejadian abang sulungnya itu bersama isteri dalam perjalanan untuk menghantar ibu mentuanya ke rumah di Seri Iskandar.

“Chor bawa ibu mentua dan bayi lelakinya ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk pemeriksaan kesihatan dan ketika itu juga saya bersama keluarga juga baru pulang dari Manjung.

“Saya lihat kemalangan kira-kira 3.30 petang tadi dan tak menyangka mangsa itu abang sendiri. Ketika itu hanya Chor dan ibu mentuanya masih dalam kereta manakala isteri serta dua anak lelakinya sudah dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Changkat Melintang, Bota, hari ini.

Katanya, selepas kejadian itu, kakak iparnya yang masih dalam pantang bertanya mengenai keadaan Zamzainal dan ahli keluarga terpaksa memaklumkan kejadian sebenar.

“Kakak ipar sangat sedih selepas mengetahui Chor sudah tiada namun dia reda dengan takdir ini.

“Anak saudara (Mior Mohamad Harraz) yang mempunyai penyakit jantung berlubang dan penat juga dibawa ke HSM untuk pemeriksaan lanjut,” katanya yang memaklumkan arwah abangnya mempunyai dua lagi anak masing-masing seorang perempuan dan lelaki berusia lapan dan enam tahun.

Katanya, kehilangan itu sangat dirasai kerana dia rapat dengan abangnya itu dan arwah Zamzainal disifatkan sebagai seorang abang yang baik, tidak banyak bercakap dan selalu membantu adik beradik.

“Jenazah abang akan dikebumikan bersama bayi lelakinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Pisang, Bota Kiri esok,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Salmah, Rosli Abd Rani, 41, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan ibunya pada minggu lalu namun warga emas itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Ketika berjumpa minggu lalu kami bergurau seperti biasa dan mak juga seperti biasa. Saya sedih dengan kehilangan ini dan ayah juga (Abd Rani Baharom, 75) juga sangat sedih dan terpaksa ditenangkan ahli keluarga.

“Saya sempat melihat adik (Nor Iashah) di wad kecemasan dan dia menerima jahitan di lidah manakala anaknya dihantar ke HSM untuk tindakan lanjut,” katanya yang memaklumkan jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Dedalu, Parit.

Berita berkaitan

Tiga termasuk bayi berusia 25 hari maut

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 11:05 PM