KELIHATAN kenderaan yang membawa raja-raja melayu tiba di Istana Negara untuk menghadiri mesyuarat khas melibatkan Majlis Raja-Raja diadakan di Istana Negara.  FOTO Aswadi Alias.
KELIHATAN kenderaan yang membawa raja-raja melayu tiba di Istana Negara untuk menghadiri mesyuarat khas melibatkan Majlis Raja-Raja diadakan di Istana Negara. FOTO Aswadi Alias.
Suraya Roslan


YANG di-Pertua Dewan Rakyat memutuskan tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berlangsung pada Isnin ini.

Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof turut mengesahkan selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat beliau sudah menerima surat pemakluman memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu.

Katanya, bagaimanapun, surat ditandatangani Perdana Menteri Interim itu didapati tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap.

"Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan setakat ini tiada notis dikeluarkan.

"Di samping itu, saya juga berpandangan keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan proses pemilihan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, beliau memutuskan tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.

"Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan seterusnya mengenai notis serta tarikh akan dimaklumkan kelak," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat ketetapan Dewan Rakyat akan bersidang Isnin ini bagi menentukan siapa Perdana Menteri menerusi undian majoriti.

Ini berikutan tiada pemimpin yang mendapat majoriti selepas 221 Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa dan Rabu menyebabkan Dewan Rakyat menjadi forum terbaik menentukan siapa bakal Perdana Menteri ke- 8.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 1:50 PM