GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling

yusmizal @hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemberitahuan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dikeluarkan kepada semua ahli Dewan Rakyat hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bagi faedah orang ramai adalah mustahak untuk diadakan satu Mesyuarat Khas sebelum tarikh mesyuarat akan datang.

Katanya, ia diadakan mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, beliau juga dimaklumkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah memberi perkenan untuk Perdana menteri mengadakan mesyuarat terbabit walaupun Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 masih berkuat kuasa.

"Sehubungan itu Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin akan menyusul dengan mengeluarkan Pemberitahuan Mesyuarat Khas kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang memaklumkan Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari pada Isnin 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 mulai jam 10 pagi.

"Bagi maksud persiapan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini berlangsung dalam keadaan selamat, perlu diperingatkan kepada semua ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen yang ditetapkan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang masa," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke -14 akan bermula pada 6 September hingga 30 September selama 15 hari manakala Mesyuarat Kedua mulai 25 Oktober hingga 16 Disember 2021 iaitu selama 32 hari.

"Dengan pemakluman ini Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 akan disempurnakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 6 September 2021, jam 10 pagi bertempat di Bangunan Parlimen Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:51 PM