Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Beberapa ahli parlimen pembangkang meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun untuk melanjutkan masa persidangan di Dewan Rakyat.

Antaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta lebih masa diberikan kepada ahli parlimen untuk berbahas mengenai soal kewangan.

Menjawab perkara itu, Azhar berkata, aturan 12 (1) menyatakan setiap persidangan majlis hendak dimulakan pada jam 10 pagi sehingga 1 tengah hari dan disambung pada 2.30 petang hingga 5.30 petang atau lebih awal selepas selesai.

"Perkara 12 (3) mengatakan, Yang di-Pertua boleh melanjutkan masa mesyuarat selepas jam 5.30 petang atau selepas apa-apa masa yang ditetapkan oleh majlis mesyuarat setakat 15 minit saja. Itulah kuasa saya.

"Jadi bila saya duduk yang terakhir (sebelah petang) pengerusikan mesyuarat, saya terus menggunakan kuasa ini untuk melanjutkan masa sehingga 5.45 petang. Saya sudah banyak kali cakap perkara ini," katanya.

Azhar berkata peraturan 12(1) ada proviso iaitu sesuatu usul yang diputuskan tanpa pindaan atau perbahasan boleh dikeluarkan seorang menteri (parlimen dan undang-undang) pada bila-bila tanpa pemberitahuan untuk mengubah waktu persidangan.

Justeru katanya terpulang kepada menteri sekiranya mendapati sesuai untuk memanjangkan, atau memendekkan waktu persidangan.

"Kalau terdapat apa-apa cadangan seperti yang ketua pembangkang nyatakan, maka perlu dibincangkan dengan menteri. Bagi saya, kalau ada usul tersebut, saya ikutlah keputusan dewan," katanya.

Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan pembentangan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 10:54 AM