(Gambar kecil) Mohd Khairuddin
(Gambar kecil) Mohd Khairuddin
Fahmy Azril Rosli

PAS berpandangan pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat 4 (1).

Peraturan itu mensyaratkan pemberitahuan usul calon Yang di-Pertua Dewan Rakyat mesti dibuat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum hari mesyuarat kepada Setiausaha Dewan Rakyat dengan bersurat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri menegaskan, kenyataan media oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk menteri menunjukkan pada 2 Julai iaitu 14 hari sebelum sidang hari ini tiada keputusan lagi di pihak kerajaan untuk menamakan calon Yang di-Pertua.

“Pada 6 Julai 2018, (Tan Sri Dr) Rais Yatim menyatakan kesediaan untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Pada 8 Julai pula, (portal berita) Malaysiakini melaporkan bahawa (Datuk) Saifuddin Abdullah selaku Setiausaha Sekretariat PH menyatakan cadangan YDP (Yang di-Pertua) baru sahaja disenarai pendek dan setiap parti komponen PH sudah mencadangkan calon masing-masing.

“Pada 10 Julai pula (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) dalam Malaysiakini menyatakan bahawa semalam pemimpin PH sudah pun memuktamadkan satu nama bagi jawatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, pada 11 Julai pula NSTP melaporkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, menolak tawaran jawatan Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, memetik laporan itu, Johari memaklumkan perkara itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berdasarkan laporan berkenaan, beliau mengandaikan bahawa cadangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat belum dimuktamadkan oleh PH pada 11 Julai.

Walaupun Setiausaha Dewan Rakyat ketika berucap menyebut bahawa cadangan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dihantar secara bertulis pada2 Julai lalu, beliau menegaskan ia tidak disokong oleh fakta kenyataan menteri berkenaan dalam isu terbabit.

“Justeru, PAS menegaskan bahawa peraturan mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipatuhi apatah lagi membabitkan pemilihan YDP kerana ia membabitkan keabsahan sidang Dewan Rakyat untuk seterusnya.

“Jadi, PH perlu menonjolkan contoh permulaan yang baik di awal sidang Dewan Rakyat sebagai memenuhi tuntutan mereka selama menjadi pembangkang sebelum ini agar kerajaan mengikut segala peraturan mesyuarat.

“Berdasarkan asas ini Ahli-Ahli Parlimen PAS mengambil tindakan keluar dari Dewan Rakyat pada awal sesi pemilihan YDP sebagai tanda protes dan seterusnya mengadakan sidang media menjelaskan sikap PAS dalam isu itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 12:59 PM